Saingan Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) 2018 membuka tirai secara rasmi menerusi Piala Sumbangsih diantara tuan rumah SMK Tunku Anum menentang SMK Mutiara Impian.

Kemenangan memihak SMK Tunku Anum dengan keputusan 2-1 sekaligus menamatkan penantian selama empat tahun untuk menjulang trofi Piala Sumbangsih.

Jurulatih SMK Tunku Anum, Mohammad Adzlan Abu menjelaskan, kemenangan yang dilakar jelas sekali menjadi penyuntik semangat pemain pemain selepas melakukan persiapan sejak awal tahun.

“Pengorbanan pemain pemain berlatih walaupun ketika sesi cuti sekolah nyata berbaloi. Separuh masa pertama kami mengawal permainan dan seharusnya menjaringkan tiga atau empat gol.

“Pasukan lawan memberikan tentangan dan menjaringkan gol penyamaan tetapi kami berjaya menjaringkan gol untuk memastikan kemenangan,”kata Mohammad Adzlan Abu.

Lima minit sebaik perlawanan berlangsung, SMK Tunku Anum mendahului saingan menerusi sepakan percuma Muhd Faiz Najmi Samad yang melepasi jangkauan penjaga gol SMK Mutiara Impian, Muhd Amin Ashraf Adnan.

Penguasaan anak didik Adzlan nyata sukar dibendung SMK Mutiara Impian sehinggalah minit ke 39.

Gerakan serangan balas disudahkan Muhd Mukmin Mohd Zamri yang menyambar bola muntah percubaan rakan sepasukan untuk mengikat kedudukan satu sama.

Keceriaan SMK Mutiara Impian hanya bertahan 10 minit apabila kesilapan Muhd Amin Ashraf mengundang padah sekaligus membuka ruang mudah kepada Muhd Syakimi Shafie untuk meletakkan tuan rumah kembali mendahului saingan.

Tiada jaringan tambahan dilakar kedua dua pasukan sekalius mengesahkan kemenangan kali ketiga untuk SMK Tunku Anum dalam saingan Piala Sumbangsih.

Selain menjulang trofi, pemain SMK Tunku Anum, Muhammad Aliff Hasmardi turut dipili sebagai pemain terbaik perlawanan.

Trofi dan medal disampaikan, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pelajaran Malaysia, Shaari Osman.

- Advertisement -