Pasukan profesional benua dari Itali, Androni Giocattoli-Sidermec menganggap perlumbaan dalam edisi ke-23 Le Tour de Langkawi 2018, yang bermula Ahad ini, bakal menjadi saingan sengit tetapi terbuka.

Selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di Padang Mat Sirat, jam 2.35 petang hari ini, selepas menempuh penerbangan panjang dari Milan, pasukan yang diketuai pengurus Gianni Savio itu hadir dengan keyakinan tinggi.

Ini berikutan persembahan awal musim yang baik dalam jelajah Vuelta a Tachira di Venezuela yang menyaksikan barisan pelumba pasukan itu memenangi empat daripada 10 peringkat yang dipertandingkan.

ā€œKami membawa (Matteo) Malucelli yang menang dua peringkat landai dan Kevin (Rivera Serrano) yang memenangi peringkat pendakian dalam jelajah itu ke LTdL kali ini.

ā€œWalaupun ada pencabar lain seperti (Andrea) Guardini di laluan landai dan pelumba Dimension Data (Mekseb Debesay) di peringkat pendakian ke Cameron Highlands, Androni yakin dapat memberi cabaran.

ā€œKehadiran beberapa pasukan lain yang turut hebat akan membuatkan lapan hari perlumbaan di LTdL ini sengit, menarik dan terbuka,ā€ kata Savio yang juga prinsipal pasukan Ā yang kali pertama tampil dalam LTdL pada 1999 bersama Selle-Italia.

Seorang lagi pelumba Androni yang turut melakar kemenangan di Vuelta a Tachira adalah Ivan Sosa.

Empat pelumba lain yang memperkuatkan cabaran Androni di LTdL ini ialah Manuel Beletti (pakar pecut), Alessandro Bisolti (pendaki), Matia Fraporti (pakar pecut) dan Luca Chirico (pendaki).

Androni mempunyai kejayaan menarik dalam sejarah penganjuran LTdL apabila pertama kali mengumpul koleksi kemenangan peringkat menerusi Jamie Drew pada Peringkat 2 LTdL 2000.

Selepas itu, lima pelumbanya muncul pemenang jersi kuning keseluruhan selepas itu, bermula dengan Hernan Dario Munoz pada LTdL 2002; Fredy Gonzalez (2004); Ruslan Ivanov (2008); Jose Serpa (2009) dan kali terakhir Jonathan Monsalve (2011).

Bagaimanapun, Androni agak tenggelam selepas itu dengan kali terakhir ia mencipta kemenangan adalah menerusi kemenangan peringkat oleh Kenny Van Hummel di Mersing pada 2014.

ā€œKami amat menghormati perlumbaan LTdL dan sentiasa cuba memberikan yang terbaik di sini. Dan tradisi ini akan kami teruskan dalam perlumbaan kali ini,ā€ kata Savio.

Perlumbaan lapan peringkat bagi LTdL 2018 dijadual bermula di Kangar, Perlis pada Ahad ini, dua hari selepas Majlis Pengenalan Pasukan di Pulau Langkawi (16 Mac) dengan perlumbaan dijangka tamat di Kuala Lumpur pada 25 Mac.

Sejumlah 22 pasukan yang terdiri daripada pasukan WorldTour, Pro Benua, Benua dan pasukan kebangsaan mengesahkan penyertaan dalam edisi LTdL 2018 yang meliputi jarak keseluruhan 1,341km, melibatkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia.

Jelajah LTdL berstatus 2.HC dalam kalendar Jelajah Asia UCI dianjurkan Ciclista Sports dengan kerjasama penuh Kementerian Belia dan Sukan.

- Advertisement -