Jaringan tunggal pemain kebangsaan Singapura, Faris Ramli pada minit ke-40 sudah memadai buat PKNS FC merakam kemenangan 1-0 ke atas Kelantan seterusnya merampas kedudukan pendahulu  Liga Super dari tangan Johor Darul Takzim, sekurang-kurangnya untuk 24 jam.

Ia adalah kemenangan ketiga buat skuad bimbingan Datuk K.Rajagobal itu dari lima perlawanan, membolehkan mereka mengumpul 10 mata, satu mata mengatasi JDT manakala Kelantan yang mengalami kekalahan ketiga berada di tangga kesepuluh dengan empat mata.

“Saya arahkan pemain saya untuk bermain agresif dari sepak mula dan mereka melakukannya dengan baik. Kita mencipta banyak peluang, malah dengan peluang-peluang yang dimiliki terutama menerusi serangan balas saya rasa kita sepatutnya boleh menang lebih dari satu gol tetapi tiga mata adalah yang penting.

“Saya tahu Kelantan akan menggandakan usaha mereka di separuh masa kedua, mereka memasukan hampir semua pemain serangan yang ada. Kredit kepada pemain saya kerana 10 minit yang terakhir itu sangatlah mencabar terutama dari segi mental namun pemain berjaya menanganinya,” ujar Rajagobal.

Pada perlawanan itu, PKNS sepatutnya berada di depan seawal minit ketujuh namun percubaan Faris yang ditepis Khairul Fahmi Che Mat terkena tiang manakala beberapa minit kemudian percubaan Mahali Jasuli yang hanya berdepan Khairul Fahmi untuk ditewaskan melambung melewati palang.

Aksi dominan di separuh masa pertama kemudiannya menyaksikan Faris meletakkan PKNS FC di depan menerusi percubaan jarak dekat menewaskan Khairul Fahmi, menyudahkan hantaran Jonatan Acosta.

Kelantan hanya lebih bernyawa di separuh masa kedua, dengan peluang terbaik mereka adalah dua kali menerusi Mohamed Ghaddar namun dinafikan ketangkasan penjaga gol Shahril Saari. Walaupun Yusri Che Lah memasukkan dua lagi penyerang Norfarhan Mohamad dan Shafiq Shaharudin, mereka gagal untuk merobohkan pertahanan PKNS  yang kental bertahan.

“Pertahanan melakukan kesilapan, dan kita dihukum. Walaupun hanya ketinggalan satu gol, kita gagal mengejar kerana kegagalan menyudahkan peluang dan satu gol itu akhirnya bertahan sampai tamat. Saya tidak salahkan sesiapa, ini adalah bolasepak. Kita perlu akui ini bukan hari kita,” kata Yusri. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -