Seperti diramal, Andrea Guardini mencatat kemenangan rekod kali ke-23 dalam edisi Le Tour de Langkawi 2018 apabila menguasai henjutan terakhir di laluan landai Peringkat 1 dari Kangar ke Kulim sejauh 147km, hari ini.

Pelumba Bardiani-CSF itu yang mula mencipta nama apabila memenangi lima peringkat pada penampilan tahun pertamanya pada LTdL 2011, menyifatkan taktik berpasukan yang tepat menjadi kunci dalam kemenangannya itu.

Menurutnya, rakan sepasukan membuat percaturan yang baik apabila mengejar bahagian depan peloton dan menempatkan diri dalam posisi yang baik sebelum membuka laluan kepadanya untuk menguasai hejutan terakhir, mengatasi pelumba KSPO Seo Joonyong dan pelumba Dimension Data, Mekseb Debesay, dengan catatan masa 3 jam 29 minit 04 saat.

“Rakan pembantu menarik saya ke depan pada jarak 500 meter terakhir sebelum saya menamatkan pecutan dengan selesa. Saya sangat gembira dapat bermula dengan baik dalam LTdL ini.

“Lebih menggembirakan, kemenangan hari ini membuktikan prestasi saya semakin meningkat tahun ini kerana LTdL kali ini ada ramai pakar pecut yang hebat berbanding ketika saya menang kali pertama pada 2001 lalu,” katanya dalam sidang media sejurus tamat perlumbaan.

Lebih manis, ia adalah kemenangan peringkat pertama buat pelumba kelahiran Tregnago, Itali itu selepas kemarau dua tahun, termasuk menduduki tempat kedua dalam perlumbaan terakhirnya di Jelajah Abu Dhabi, bulan lalu.

Begitupun, Guardini berkata dia tidak mahu memandang jauh mengenai rekod dan tetap berhati-hati untuk menempuh Peringkat 2 dari Gerik ke Kota Bharu esok, kerana sedar dengan kesukaran laluan merentasi Banjaran Titiwangsa itu.

“Saya masih ingat ketika menempuh laluan ini pada 2016 dulu di mana saya tercicir agak jauh dan gagal memberi saingan,” katanya mengimbas kemenangan yang diraih pelumba Orica, Caleb Ewan.

Dengan kemenangan peringkat pertama LTdL 2018 hari ini, Guardini mengesahkan jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan dan jersi hijau Raja Pecut dengan 19 mata, 7 mata d depan Joonyong dan 9 mata di depan pelumba Hengxiang, Wang Bo.

Pelumba pasukan benua dari China itu yang berada dalam kelompok tiga pelumba yang membuat pemecahan sejak awal dan menguasai satu-satunya zon pendakian kategori 4 (KOM4) di Bukit Selambau, mengesahkan jersi polka dot merah sebagai Raja Bukit dengan 4 mata.

Joonyong pula menyarung jersi putih selaku pelumba terbaik Asia.

Dalam kayuhan yang dilepaskan pada jam 11 pagi dari Kangar itu, Benavides Molano (Manzano Postaban), Guardini, Dylan Page dan Anuar Manan (Forca Amskins) menguasai zon pecutan pertama di Kerpan.

Begitu pun, Wang, Nik Mohd Azwan Zulkiflie (Forca Amskins) dan Abdulrohman Muhammad (KFC) meloloskan diri dari kelompok besar peloton selepas itu untuk menguasai dua zon pecutan seterusnya di Alor Setar dan Guar Chempedak serta zon pendakian di Bukit Selambau, sebelum mereka ditangkap kumpulan besar pelumba.

Peringkat 2 LTdL 2018 esok akan disambung dengan kayuhan dari Gerik ke Kota Bharu sejauh 208.2km, yang melibatkan dua zon pendakian kategori KOM3 di Gerik dan KOM1 di Titiwangsa serta tiga zon pecutan dalam laluan landai ke garisan penamat di Kota Bharu.

Perlumbaan dengan jarak keseluruhan 1,341.2 km berstatus 2.HC dalam kalendar Jelajah Asia UCI itu akan disertai 22 pasukan dan laluannya melibatkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia.

LTdL 2018 dianjurkan Ciclista Sports dengan sokongan penuh kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan.

- Advertisement -