Berdasarkan prestasi semasa, Johor Darul Takzim (JDT) mempunyai segala sebab untuk berasa bimbang apabila bertandang ke Kuala Terengganu bagi aksi Liga Super menentang Terengganu FC, Sabtu ini.

Pendahulu carta liga itu sedang melalui fasa sukar – kehilangan jurulatih, kehilangan penyerang utama dan gagal menjaringkan gol dalam dua daripada tiga perlawanan terakhir (situasi yang sangat jarang berlaku kepada mereka).

Pengendali sementara, Raul Longhi merehatkan ramai pemain tonggaknya ketika seri tanpa jaringan menentang Tampines Rovers pada Selasa. Dia mempertaruhkan 100 peratus pemain tempatan dalam kesebelasan utama, tatkala hanya seorang pemain import berada dalam senarai 18 pemain iaitu Hariss Harun.

Malah pemain berdarah kacukan seperti Natxo Insa dan Corbin Ong juga tiada dalam senarai.

Raul mengakui terpaksa mengambil tindakan tersebut agar dapat mempertaruhkan skuad terbaik menentang Terengganu apatah lagi pasukan tangga kedua itu sedang mengharungi prestasi yang cukup baik sekaligus membuktikan harimau selatan ‘goyang’ dengan ancaman sang penyu.

Pasukan bimbingan Irfan Bakti itu belum tewas dalam kesemua lima perlawanan termasuk Piala FA, malah menjaringkan gol dalam semua perlawanan musim ini dengan gandingan Kipre Tchetche dan Lee Tuck tampak semakin berbisa.

Menang tiga aksi terakhir, keyakinan di kem Terengganu nyata cukup tinggi ketika ini. Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan, minggu suram JDT akan berterusan di bumi Darul Iman.

Sementara itu, khabar gembira buat PKNS FC apabila Zac Anderson kembali tepat pada waktunya ketika PKNS FC sedia berdepan Kelantan dua kali dalam tempoh seminggu – dalam aksi Liga Super pada Jumaat dan pusingan ketiga Piala FA pada 17 Mac depan.

Tonggak pertahanan itu disahkan sudah cergas sepenuhnya untuk diturunkan malah kem PKNS turut ceria apabila kapten pasukan, Safee Sali turut dilaporkan telah kembali dari kecederaan dan bersedia memperkasa barisan serangan pasukan.

Kedua-dua pemain ini kali terakhir beraksi kira-kira sebulan yang lalu ketika menang 2-0 ke atas Perak pada 10 Februari. Mereka tiada dalam senarai 18 pemain ketika menentang Kedah dan Hanelang FC.

Ketiadaan dua pemain ini, terutamanya Zac nyata begitu dirasai Datuk K.Rajagobal tatkala dia menyaksikan skuadnya tewas buat pertama kali kepada Kedah dengan keputusan 3-4. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -