Sebanyak lebih 20 kenderaan dalam konvoi calvacade atau perarakan kereta yang mewakili barisan penaja jelajah Le Tour de Langkawi 2018 akan menambah kemeriahan edisi ke-23 perlumbaan jelajah terulung Asia itu mulai 18 hingga 25 Mac ini.

Selain berfungsi sebagai ‘khabar awal’ untuk memaklumkan peminat berbasikal bahawa kelompok besar pelumba atau peloton akan melalui laluan berkenaan, konvoi calvacade yang lazimnya bergerak sejam lebih awal daripada jangkaan peloton, turut memeriahkan laluan dengan mengagihkan cenderamata hasil produk penaja.

Diketuai anggota polis bermotosikal dan marsyal yang menggunakan motosikal berkuasa tinggi bagi memastikan kelancaran lalulintas, empat kenderaan di depan juga akan mempamer patung boneka yang memakai jersi-jersi yang menjadi rebutan pelumba pada perlumbaan tahun ini iaitu jersi kuning pendahulu, jersi Raja Bukit, jersi Raja Pecut dan jersi Pelumba Terbaik Asia.

Antara penaja yang turut menyertai perarakan konvoi calvacade pada edisi ke-23 ini adalah Kerajaan Negeri Terengganu, Spritzer, Givi, Thule, Forca, Taman Pameran Pertanian Malaysia (MAEPS), Hop On Hop Off, Sunway Lagoon, Ara Assist, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Nasional FM, Kopiesatu dan enam sekretariat LTdL.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL 2018, Shahirudeen Seeni berkata, pihaknya dan barisan penaja akan memeriah dan menghangatkan perlumbaan kira-kira sejam lebih awal kepada peminat berbasikal yang dijangka akan berbaris panjang untuk mengalu-alukan kayuhan pelumba.

“Seperti biasa, kehadiran konvoi calvacade yang  penuh warna warni kira-kira sejam lebih awal akan membuatkan peminat tertunggu-tunggu kelibat pelumba dan menyuntik kemeriahan perlumbaan LTdL, tidak kira keadaan cuaca.

“Inilah tradisi LTdL sejak sekian lama dan penganjur Ciclista Sports akan cuba sedaya upaya untuk menghangatkan suasana perlumbaan jelajah ini yang sememangnya amat dekat di hati rakyat Malaysia.

“Barisan penaja yang menyertai konvoi calvacade ini juga akan membuka gerai pameran dan jualan mereka di lokasi permulaan dan penamat supaya peminat yang hadir mendapat maklumat lebih lanjut mengenai produk penaja pada tahun ini,” katanya.

Shahirudeen berkata, LTdL adalah milik bersama rakyat Malaysia dan masyarakat serta penaja yang mengambil bahagian pada edisi kali ini berhak menikmati keseronokan tersendiri yang diberikan oleh perlumbaan berbasikal kebanggaan mereka.

Seramai 132 pelumba yang mewakili 22 pasukan membabitkan pasukan bertaraf Pro Tour, profesional benua (Pro Tour), benua (Continental) dan pasukan kebangsaan akan menghangatkan perlumbaan edisi ke-23 tahun ini, yang bermula dengan majlis pengenalan pasukan di Pulau Langkawi pada 16 Mac ini.

Perlumbaan lapan peringkat sejauh 1,341.1km berstatus 2.HC dalam kalendar perlumbaan Jelajah Asia oleh UCI itu melibatkan lapan negeri di Semenanjung mendapat sokongan penuh kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan.

- Advertisement -