Di atas kertas, cabaran Le Tour de Langkawi 2018 yang akan bermula 18 hingga 25 Mac ini seolah-olah tampak kurang mendebarkan kerana hanya dua pasukan berstatus WorldTour akan menghiasi saingan.

Namun jika dilihat pada perlumbaan beberapa tahun lalu, jelas membuktikan status WorldTour bukan jaminan pasukan elit akan mendominasi perlumbaan kerana terbukti pasukan lebih kerdil berstatus profesional benua mahupun benua juga mampu bergelar pemenang.

Saingan LTdL 2018 kali ini hanya menampilkan dua pasukan WorldTour – Dimension Data dan Astana – tetapi pasukan profesional benua yang mengesahkan penyertaan tetap hebat dan mampu memberi saingan sengit, antaranya Androni Giocattoli-Sidermec, Bardiani CSF, Manzana Postobon, Wilier Triestina dan Bennelong Swisswellness Cycling.

Malah lapan hari perlumbaan – tanpa pendakian Genting Highlands – tetap memberi cabaran tersendiri yang sukar diramal kerana kayuhan ke Cameron Highlands tetap akan menguji kekuatan mental dan fizikal setiap pelumba.

Malah edisi ke-23 kali ini mempunyai tarikan tersendiri kerana pemegang rekod kemenangan peringkat di LTdL – Andrea Guardini yang mengumpul 18 kemenangan peribadi, kembali untuk terus menambah jumlah rekodnya.

Guardini mula mencipta nama dalam kancah professional apabila mula mengumpul koleksi kemenangan peringkat di LTdL 2011 ketika bersama pasukan Farnese Vini, sebelum mencatat kemenangan peringkat terbesarnya di Giro d’Italia pada tahun berikutnya.

Sejak itu, nama Guardini cukup sinonim dengan LTdL apabila dia tampil beberapa kali lagi di LTdL dengan pasukan berbeza, termasuk Astana.

Bersama-sama pasukan baru, Bardiani CSF, pasukan bimbingan Roberto Reverberi itu yang menjadi antara pasukan tradisi dalam sejarah LTdL (tampil dengan nama Navigare-Gaerne, Panaria dan Colnago-CSF sebelum ini),  dijangka akan menguasai peringkat landai yang lazimnya berakhir dengan henjutan pecut beramai-ramai ke garisan penamat.

Guardini diramal akan berentap dengan beberapa pakar pecut handalan lain, termasuk pelumba berpengalaman berusia 33 tahun Manuel Belletti (Androni) yang pernah memenangi satu peringkat perlumbaan Grand Tour iaitu Giro d’Italia pada 2010 serta pernah menyarung jersi pasukan handalan AG2R.

Pencabar lain dalam perebutan gelaran Raja Pecut termasuk penyarung jersi kuning pada peringkat pertama LTdL 2017 lalu – Scott Sunderland (Bennelong Swisswellness),  selain Park Sung-baek (KSPO) dan dua pakar pecut negara, Anuar Manan (Forca Amskins) dan Hariff Salleh (Terengganu Cycling Team).

Seorang lagi pelumba KSPO, Seo Joon-yong pasti mahu mengulangi kejutan yang dilakukannya pada edisi 2015 apabila memenangi Peringkat 5, menerusi pemecahan secara solo beberapa kilometer ke garisan penamat.

Tumpuan juga pasti terarah bagi perebutan jersi kuning dengan peringkat 5 dari Bentong ke Cameron Highlands dijangka menjadi penentu, dan pemenang peringkat tahun lalu dari pasukan Dimension Data, Mekseb Debesay akan mengetuai cabaran pasukan itu untuk mengekalkan jersi kuning pasukan berkenaan yang dimenangi Ryan Gibbons pada tahun lalu.

Pelumba 27 tahun kelahiran Eritrea itu dijangka diberi saingan oleh pakar mendaki lain seperti Luca Chirico (Androni), John Ebsen (Forca Amskins), pelumba muda berbakat Astana, Yevgeny Gidich dan rakan senegara yang kini bersama TSG, Metkel Eyob.

Sukar diramal keputusan di setiap lapan penamat pada LTdL ini dan apabila 132 pelumba daripada 22 pasukan memulakan kayuhan Peringkat 1 di Kangar ke Kulim, teka-teki siapa bakal memenangi peringkat akan mengiringi kayuhan mereka setiap hari hinggalah ke penamat peringkat kelapan di Kuala Lumpur, 25 Mac depan.

Sejumlah 22 pasukan berstatus WorldTour, professional benua, benua dan pasukan kebangsaan mengesahkan penyertaan pada edisi ke-23 LTdL 2018 ini yang meliputi jarak keseluruhan 1,341km membabitkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia.

Jelajah LTdL berstatus 2.HC dianjurkan Ciclista Sports dengan kerjasama penuh Kementerian Belia dan Sukan.

Jelajah LTdL berstatus 2.HC dianjurkan oleh Ciclista Sports dengan kerjasama penuh Kementerian Belia dan Sukan.

- Advertisement -