FROM LEFT: Suarez Arango, Riccardo Minali and Seo Joonyong

Pelumba muda Astana Pro Team, Riccardo Minali memenangi Peringkat 2 Le Tour de Langkawi 2018 dari Gerik ke Kota Bharu hari ini, sekali gus merampas jersi kuning pendahulu daripada pelumba Bardiani-CSF, Andrea Guardini.

Minali, 22, yang menyertai Astana dua tahun lalu, memenangi henjutan beramai-ramai kelompok pertama mengandungi 79 pelumba yang memisahkan diri daripada kelompok Guardini sebaik memasuki zon pendakian di Gerik dan Titiwangsa.

Kelompok pertama itu menangkap enam pelumba yang meloloskan diri lebih awal dan berkayuh laju untuk melengkapkan kayuhan sejauh 208km itu sebelum diakhiri dengan pecutan Minali, yang menewaskan pelumba Androni Giocattoli-Sidermec, Matteo Malucelli dan Paolo Simion (Bardiani) di garisan penamat.

Kelompok pertama itu menamatkan kayuhan dengan masa 5 jam 18 minit 20 saat, kira-kira 13 minit di depan kelompok kedua yang mengandungi ramai pakar pecut.

Di akhir peringkat kedua ituMinali, Minali turut merampas jersi hijau Raja Pecut daripada Guardini manakala pelumba Manzana-Postobon, Bernardo Albeiro Suaza Arango merampas jersi polka dot Raja Bukit daripada pelumba Hengxiang, Wang Bo.

Pelumba KSPO-Bianchi dari Korea, Seo Joonyong yang turut berada dalam kelompok depan, masih mengekalkan jersi putih Pelumba Terbaik Asia.

Minali, anak kepada pakar pecut Itali dekad 90an yang pernah mengecapi kemenangan di Tour de France, Giro d’Italia dan Vuelta a Espana, Nicola, menyifatkan kemenangan di Kota Bharu itu sungguh manis.

“Ini adalah kemenangan peringkat dan jersi kuning pertama saya sejak bertukar menjadi pelumba profesional bersama Astana, dua tahun lalu. Sebenarnya perlumbaan hari ini begitu sukar kerana cuaca sangat panas dan ada pendakian panjang di awal kayuhan.

“Tetapi rakan sepasukan terutama (Yevgeniy) Gidich bekerja keras di dalam peloton untuk mengejar kumpulan breakaway di depan serta menarik saya untuk memecut ketika menghampiri garisan penamat.

“Saya tidak pasti selama mana dapat mempertahankan jersi kuning dan jersi hijau ini tetapi berharap dapat bertahan sehingga ke peringkat akhir. Guardini pasti akan bangkit di peringkat landai selepas ini dan saya juga akan cuba bersaing untuk memenangi klasifikasi mata,” kata Minali yang mendahului senarai keseluruhan dengan masa 8 jam 47 minit 13 saat, 5 saat di depan Joonyong dan mengumpul 23 mata pecut, 4 mata di depan pencabar terdekat Guardini.

Sementara itu, Suaza Arango berkata, pasukan Manzana-Postobon yang beraksi untuk tahun kedua berturut turut dalam LTdL, semakin memahami bentuk cabaran dalam perlumbaan terunggul Asia itu.

“Hari ini saya merebut kesempatan dengan baik (ketika pendakian) kerana saya memang sasarkan jersi polka dot. Tetapi saya tidak pasti sejauh mana mampu bertahan kerana masih ada peringkat pendakian sukar (di Cameron Highlands).

“Tetapi sekurang-kurangnya jersi ini menyuntik moral yang tinggi dalam pasukan kami yang dianggap masih baru dan muda,” kata Suaza Arango yang kini mengumpul 19 mata dalam senarai pungutan mata Raja Bukit, hanya satu mata di depan pencabar dari pasukan 7-Eleven dari Filipina, Marcelo Felipe.

Dalam kayuhan Peringkat 2 yang dilepaskan di Gerik itu, sekumpulan kecil empat pelumba hanya dapat meloloskan diri ketika menghampiri zon pendakian di Gerik selepas 26km berkayuh dengan Felipe, Suaza Arango, Abdulrohman (KFC) dan John Ebsen (Forca Amskins) menguasai pendakian kategori 3 sebelum Suaza Arango memastikan mata di pendakian lebih sukar kategori 1 di Titiwangsa pada jarak 67km.

Kumpulan depan itu dapat menangkap beberapa cubaan meloloskan diri ketika zon pecutan di Batu MelintanG, Bukit Bunga dan Rantau Panjang, sekali gus menjarakkan masa dengan kumpulan kedua yang tercicir sehingga 13 minit.

Kayuhan Peringkat 3 LTdL 2018 esok membabitkan kayuhan landai tanpa zon pendakian, dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu sejauh 166km, dengan tiga zon pecutan di Jelawat, Kuala Besut dan Pantai Penarik sebelum tamat di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Perlumbaan dengan jarak keseluruhan 1,341.2 km berstatus 2.HC dalam kalendar Jelajah Asia UCI itu akan disertai 22 pasukan dan laluannya melibatkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia.

LTdL 2018 dianjurkan Ciclista Sports dengan sokongan penuh kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan.

- Advertisement -