Pahang menyingkirkan juara bertahan Piala FA Kedah menerusi kemenangan 1-0 dalam aksi pusingan ketiga di Stadium Darulmakmur, Kuantan pada Sabtu sekaligus membalas dendam kekalahan di pentas final musim lalu.

Kehilangan penyerang utama Francis Forkey Doe kerana kecederaan seawal minit ke-10 ternyata sedikit membuatkan sentuhan barisan depan skuad Dollah Salleh hilang sengat, namun tandukan terbang Mohamadou Sumareh pada minit akhir separuh masa pertama sudah memadai untuk skuad tok gajah meneruskan kemaraan ke suku akhir.

Di Stadium Shah Alam, PKNS FC bimbingan Datuk K.Rajagobal membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila menjinakkan Kelantan 4-1 untuk mara ke suku akhir.

Sepanjang perlawanan, Kelantan kelihatan seperti sebuah pasukan amatur di kala PKNS FC pula tampil dengan permainan menarik dan mengesahkan kemenangan menerusi jaringan Romel Morales, Mahali Jasuli, Safee Sali dan Rafael Ramazotti.

Gol tunggal Kelantan dijaringkan Mohamed Ghaddar pada minit akhir menerusi tendangan penalti.

Pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim pula mara ke suku akhir setelah mengetepikan tentangan sengit pasukan Liga Premier Uitm FC dengan jaringan 3-2 di Stadium Uitm Shah Alam.

Penyerang kebangsaan Safawi Rasid meledak hatrik pada minit ke-11, 41 dan 72.

Gol buat Uitm FC dijaringkan oleh Lucas Pugh dan Faiz Bandong.

Dalam satu lagi aksi, Perak bimbingan Mehmet Durakovic mencatat kemenangan 3-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium Bandaraya. Wander Luiz menjaringkan dua gol manakala satu lagi dijaringkan Gilmar da Silva menerusi sepakan penalti.  Gol saguhati harimau kumbang dijaringkan Ugo Ukah. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -