Pengurusan baru pun dua kali lima sahaja ….

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2018/03/pengurusan-baru-pun-dua-kali-lima-sahaja">
Twitter
Pinterest

Kuantan FA sepatutnya tidak dibenarkan beraksi dalam Liga Malaysia musim ini kerana tunggakan gaji beberapa bulan pada musim 2017 yang tidak diselesaikan pengurusan lama, namun mereka dibenarkan bermain oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) atas nama Marcerra Kuantan FA.

Beberapa pemain yang menjadi mangsa sudah awal-awal lagi mempersoalkan bagaimana pasukan itu dibenarkan beraksi, malah mereka khuatir isu sama berulang jika tidak diambil tindakan.

FMLLP menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam ketika itu menjawab bahawa menyekat pasukan itu dari bertanding tidak membantu menyelesaikan masalah, sebaliknya pengurusan baru Kuantan FA perlu diberi ruang untuk memperbaiki kesilapan tetapi malangnya ia kini menambah masalah baru pula.

Dek kerana tindakan FMLLP bagi muka kepada Kuantan FA, kini barisan pemain dan pegawainya yang menjadi mangsa kerana dilaporkan mereka sudah tiga bulan tidak menerima gaji. Pengurusan baru pasukan itu membuktikan mereka sama sahaja dengan pengurusan lama.

Malah, rintihan pemain dan pegawai pasukan agar sekurang-kurangnya gaji sebulan dapat dilunaskan juga seolah tidak diambil peduli sehingga ada pemain sudah mula berhutang sana-sini, ada yang kereta sudah ditarik dan ada yang sudah memikirkan untuk meninggalkan lapangan bolasepak.

Ironinya, bukan pasukan Liga Premier Marcerra sahaja terpalit isu ini, difahamkan skuad Marcerra United yang bermain di Liga FAM serta pasukan futsal mereka yang beraksi di pusingan kelayakan Liga Futsal Kebangsaan bulan lalu juga tidak menerima bayaran gaji ataupun elaun sepertimana dijanjikan.

Pengendali pasukan, Ismail Zakaria mengakui masalah yang dihadapi ini walaupun pada awalnya dilihat berada dalam keadaan terkawal, kini ianya tidak lagi dapat dibendung dan mula menjejaskan moral, motivasi dan semangat pemain skuad itu.

Mana tidaknya, inilah punca rezeki, periuk nasi mereka. Pemain-pemain bermain setelah tandatangan kontrak, diminta menghormati kontrak dan sekiranya melanggar kontrak akan dihukum, diambil tindakan tetapi bila pengurusan pasukan buat hal, tiada pihak yang tampil mempertahankan hak mereka.

Ismail sangat memahami kekecewaan pemainnya. Apa yang dibimbanginya adalah pemain-pemain akan bermain untuk kalah dalam setiap perlawanan untuk menunjukkan tanda protes, justeru bekas jurulatih KL itu berharap pengurusan mengambil serius masalah ini dan segera mencari jalan penyelesaian.

Antara nama-nama besar dalam skuad Kuantan FA musim ini adalah Abdul Hadi Yahya, Abdul Manaf Mamat, Daudsu Jamaluddin, Zairul Fitri Ishak dan Fazli Zulkifli. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

Please follow and like us:
0