Pengalaman akan jadikan pemain lebih matang, bukan wang ringgit. Tiada guna bayar gaji mahal, tapi tiada motivasi nak bermain. Demikian pendapat jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin.

Sulaiman percaya barisan pemainnya telah mendapat pendedahan dan pengalaman berguna daripada kekalahan kepada barisan berstatus bintang Felda United dalam aksi pusingan ketiga Piala FA Jumaat lalu.

Sejak sebelum undian dibuat lagi, pengendali itu sudah menekankan kepada pemainnya agar bermain dengan motivasi tinggi dan berikan tentangan sengit biar siapapun lawan menanti, dan dia gembira pemain ‘the varsity boys’ berjaya membuatkan Felda United bekerja keras untuk mencatat kemenangan 2-1.

“Biarpun tewas, pengalaman yang mereka dapat itu tidak ternilai. Saya pernah cakap dulu nak jumpa JDT atau Kedah sebab nak belajar dari mereka, tetapi Felda juga sebuah pasukan yang mana standardnya adalah sama seperti Liga Super.

“Pemain menggandakan usaha bukan sebab nak cipta kejutan, tetapi sebab nak membuktikan UKM boleh bersaing dengan mana-mana pasukan, buktikan kita bukan pasukan belasahan dan hasilnya mereka sekadar tewas tipis.

“Kita perlu belajar dari setiap kekalahan untuk menjadi lebih baik, kita sebuah pasukan kecil, berbajet kecil. Tiada guna kita menggaji pemain mahal tetapi motivasi untuk bermain dan berjuang tiada dalam diri mereka.

“Wang ringgit bukan motivasi sebenar sebaliknya keghairahan dan keinginan setiap pemain untuk menjadi lebih baik menerusi setiap kekalahan. Inilah mentaliti yang perlu ada dalam diri setiap pemain,” ujar pengendali yang membawa UKM FC muncul naib juara Piala FAM 2017 itu.

Mengenai prestasi hambar dalam 100PLUS Liga Premier, Sulaiman yakin pasukannya yang ketika ini di kedudukan ke-11 dengan hanya satu kemenangan, akan bangkit memperbaiki prestasi dan tampil dengan permainan yang jauh lebih baik sejurus saingan bersambung bulan depan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -