“Untuk menjadi yang terbaik, kita kena tewaskan yang terbaik”, itu pegangan pemain Kuantan Rangers FC, Akmarulnizam Idris atau popular dengan panggilan Ebek.

Dia yang turut merupakan tonggak pasukan kebangsaan itu mengakui perlawanan menentang Perak dalam aksi kelima Liga Futsal Kebangsaan (LFK) 2018 pada Sabtu adalah satu perlawanan yang cukup sukar mengambil kira prestasi semasa sang seladang itu yang menang semua empat perlawanan setakat ini.

Perak yang turut diperkuatkan beberapa pemain kebangsaan seperti Farikh Khabibor Rahman dan Awalludin Mat Nawi ketika ini menduduki tangga kedua dengan 12 mata, dipisahkan menerusi beza jaringan dengan Melaka yg turut mengumpul 12 mata.

Namun, bagi Akmarul, Kuantan Rangers boleh memberikan tentangan sengit kepada Perak. Dia dan rakan-rakan mahu membuktikan Kuantan Rangers akhirnya sudah menemui rentak yang hilang dan bersedia untuk berdepan sesiapa sahaja.

“Kita pasukan mentah dalam LFK, boleh kata majoriti pemain kita tiada pengalaman bermain di LFK kecuali beberapa pemain senior. Jadi setiap perlawanan itu satu pengalaman baru buat semua. Kemenangan ke atas Terengganu memberikan kita satu keyakinan dan jika kita berazam menjadi lebih baik, kita kena mencabar diri kita untuk tewaskan pasukan yang terbaik.”

Sementara itu, seorang lagi pemain senior pasukan futsal elit dari Pahang itu, Norkhairi Abdul Rahman berkata dia dan rakan sepasukan perlu membuktikan bahawa mereka sudah belajar dari kesilapan dan tidak lagi berpaling.

Menurut Norkhairi, kesilapan dilakukan ketika menentang Melaka dalam aksi ketiga yang menyaksikan mereka tewas 2-7 adalah pemain-pemain terlalu menghormati reputasi juara bertahan itu yang dibarisi begitu ramai pemain kebangsaan sekaligus takut untuk terjemahkan permainan sebenar.

Justeru, apabila menentang Perak yang turut merupakan antara pasukan pilihan LFK, penjaring terbanyak Liga Futsal Brunei 2017 itu mahu segala rasa hormat diketepikan seterusnya bermain dengan penuh yakin, tanpa rasa gentar untuk memastikan rentak kemenangan dapat diteruskan.

Untuk rekod, Kuantan Rangers yang layak pertama kali beraksi di LFK setelah mengungguli pusingan kelayakan pada Januari melakar kemenangan pertama dengan menewaskan Terengganu FC 6-2 dalam aksi keempat dan ketika ini menduduki tempat keenam dengan empat mata.

Selepas menentang Perak pada Sabtu, Kuantan Rangers akan berdepan pula dengan pasukan ‘abang’ mereka, Pahang dalam pertembungan derby menarik di mana lebih daripada 10 pemain Kuantan Rangers termasuk Akmarul dan Norkhairi adalah bekas pemain Pahang manakala Pahang pula telah mendapatkan khidmat Zulkarnain Samsul dan Ahmad Zaki Yamani sebagai pinjaman dari Kuantan Rangers. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -