Kemelut yang melanda bolasepak Kelantan nampaknya tidak berkesudahan.

Belum pun reda isu S. Veenod digugurkan daripada pasukan Kelantan secara tidak professional, giliran bekas pemain import mereka Bruno Lopes pula membuka mulut mendedahkan kepincangan pengurusan yang disifatkan terlalu amatur.

Menerusi laporan sebuah portal, pemain kelahiran Brazil itu berkata segalanya tampak bercelaru di kem Kelantan dan pasukan itu adalah pasukan paling tidak terurus pernah diwakili sepanjang kariernya.

“Sejujurnya saya datang ke sini dengan satu ekspetasi tinggi selepas mengharungi 2017 yang cemerlang, jadi saya sasarkan 2018 yang lebih baik. Tetapi ada yang tidak kena dengan pasukan ini dan segalanya tidak berlaku seperti apa saya mahukan. Saya sudah buat yang terbaik, analisa statistik dan perbaiki apa yang patut, saya tidak gembira, memang ia mengecewakan,” kata Bruno.

Pemain itu menyertai Kelantan dari Persija Jakarta pada musim 2018 selepas Kelantan gagal mendapatkan khidmat Marko Simic.

Ditanya mengenai kecederaannya yang dikatakan akan mengambil masa dua bulan untuk pulih dan menjadi sebab dia ditamatkan kontrak, Bruno cukup kecewa dengan “berita yang diadakan” tersebut dan layanan yang telah diterimanya.

“Penyokong dan media hanya dengar dan baca apa yang KAFA beritahu, tetapi cerita sebenar adalah berbeza.  Memang saya alami kecederaan dan dalam proses untuk pulih, sebagai pemain saya mahu segera pulih dan kembali ke dalam latihan. Saya bukannya doktor, saya sendiri tidak tahu berapa lama saya akan tersisih sebab itu saya tak post apa-apa di media sosial, tapi puan presiden merasakan ia bagus untuk canang merata tentang kecederaan saya, mungkin dia lebih tahu.

“Adalah penting untuk menegaskan Kelantan langsung tidak membantu dalam pemulihan kecederaan saya. Apa yang KAFA rasakan langkah terbaik adalah menamatkan kontrak ketika saya sedang sakit. Ini akan membawa padah kepada mereka. Mereka juga tidak menepati apa yang telah dipersetujui, ini juga akan membawa padah kepada mereka,” ujar pemain itu lagi.

Ditanya pula sama ada dia menerima pampasan di atas penamatan kontrak secara ‘pra matang’, Bruno berkata dia tidak menerima apa-apa bayaran malah Presiden KAFA, Bibi Ramjani telah menyekat (block) whatsappnya.

“Kelab ini masih terlalu jauh untuk bergelar profesional, puan presiden block saya kerana saya menuntut apa yang telah dijanjikan. Saya juga ada anak kecil dan keluarga, kami telah mencapai persetujuan tertentu untuk penamatan kontrak tetapi saya tidak boleh dedahkan perjanjian itu kerana ketika ini peguam saya sedang menguruskannya.

“Saya seorang yang berpegang kepada kata-kata dan akan tunaikan apa saya janji. Malangnya saya tidak percaya kepada kata-kata presiden ini, tidak mengapa walaupun dia dah block saya, saya tetap akan perjuangkan hak saya,” jelas pemain itu.

Untuk rekod, sepanjang tiga bulan bersama Kelantan, Bruno menjaringkan satu gol dalam saingan Liga Super. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -