Chong Wei, beregu wanita ke final, beregu lelaki gagal pertahan emas

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2018/04/chong-wei-beregu-wanita-ke-final-beregu-lelaki-gagal-pertahan-emas">
Twitter
Pinterest

Datuk Lee Chong Wei dikerah bekerja keras sebelum berjaya mengetepikan tentangan sengit HS Prannoy dari India untuk melangkah ke perlawanan akhir acara perseorangan lelaki temasya Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Carrara Sports and Leisure Center pada Sabtu, Chong Wei yang tewas dalam dua pertemuan terakhir menentang Prannoy tahun lalu tampil dengan motivasi tinggi untuk melakar kemenangan 21-16, 9-21, 21-14.

Namun begitu, misi untuk memenangi emas nyata penuh berliku kerana lawan yang menanti Chong Wei di final adalah pemain nombor dua dunia dari India, Srikanth Kidambi – pemain yang menewaskannya dalam acara berpasukan campuran pada Isnin lalu.

Srikanth mara ke final setelah menewaskan pemain England, Rajiv Ouseph 21-10, 21-17 dalam masa 32 minit.

Turut mara ke final adalah beregu wanita, Chow Mei Kuan-Vivian Hoo yang bangkit dari kekalahan set pertama untuk menyingkirkan pasangan India, Ashwini Ponnapa-N Sikki Reddy 17-21, 21-15, 21-4.

Mei Kuan-Vivian akan menentang pasangan England Lauren Smith-Sarah Walker yang layak dengan menyingkirkan pasangan tuan rumah Setyana Mapasa-Gronya Sommerville 21-15, 21-15.

Sementara itu, pasangan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong pula gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi empat tahun lalu setelah kecundang kepada gandingan England, Marcus Ellis-Chris Langridge 21-15, 16-21, 15-21.

V Shem-Wee Kiong akan menentang pasangan Sri Lanka Sachin Dias-Buwaneka Goonethileka dalam aksi penentuan pingat gangsa.

Turut gagal melangkah ke final adalah gandingan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang tewas straight set 19-21, 17-21 kepada pasangan England Gabrielle Adcock-Chris Adcock.

Dengan hanya dua wakil di final, ini sekaligus menyaksikan pasukan badminton Malaysia di Komanwel 2018 gagal untuk mengulangi pencapaian di Glasgow 2014 yang mana ketika itu mereka membawa pulang tiga pingat emas. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

Please follow and like us:
0