Jaguh badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei mara ke peringkat separuh akhir acara perseorangan Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dengan menyingkirkan pemain Singapura, Loh Kean Yew.

Dalam aksi suku akhir di Carrara Sports and Leisure Center pada Jumaat, pemain berusia 36 tahun itu menewaskan Kean Yew 21-13, 21-16 dalam masa 42 minit untuk menempah pertemuan menentang pemain India, HS Prannoy.

Ianya dilihat sebagai misi sukar buat Chong Wei, jika mengambil kira peningkatan mendadak ditunjukkan pemain perseorangan India malah pemain nombor tujuh dunia itu tewas dalam dua pertemuan terakhir menentang Prannoy pada tahun lalu.

Turut mengiringi Chong Wei ke separuh akhir adalah pasangan beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong, pasangan beregu wanita Chow Mei Kuan-Vivian Hoo serta pasangan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Sementara empat lagi wakil tersingkir iaitu Soniia Cheah (perseorangan wanita), Goh Soon Huat-Peng Soon (beregu lelaki) dan Soniia-Shevon Lai (beregu wanita) dan Soon Huat-Shevon (beregu campuran).

V Shem-Wee Kiong mara dengan menewaskan Alexander Dunn-Adam Hall dari Scotland 21-9, 21-17 dan akan bertemu Marcus Ellis-Chris Langridge dari England untuk memburu slot ke final.

Mei Kuan-Vivian pula menyingkirkan pasangan England, Chloe Birch-Jessica Pugh 21-11, 21-6 untuk menempah pertemuan menentang Ashwini Ponnapa-N Sikki Reddy di separuh akhir.

Manakala Peng Soon-Liu Ying akan menentang gandingan adik-beradik dari England Chris Adcock-Gabrielle Adcock setelah mara dengan menyingkirkan beregu India, Pranaav Chopra-N Sikki Reddy.OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -