Jaguh badminton tanah air, Datuk Lee Chong Wei menceriakan kem negara dengan menghadiahkan pingat emas keenam setelah menewaskan pemain nombor satu dunia Srikanth Kidambi dalam aksi final perseorangan lelaki Sukan Komanwel Gold Coast 2018, sebentar tadi.

Di hadapan ribuan peminat yang hadir memberi sokongan di Stadium Carrara, pemain berusia 36 tahun itu membuktikan usia tidak sedikitpun melunturkan semangat dan motivasinya sebaliknya tampil dengan karakter sang juara untuk bangkit dari kekalahan set pertama sebelum menang 19-21, 21-14, 21-14 dalam masa 65 minit.

Ia juga sekaligus membalas dendam kekalahan Chong Wei kepada Srikanth dalam aksi berpasukan campuran pada Isnin lalu yang mana menyaksikan Malaysia gagal mempertahankan pingat emas dan sekadar berpuas hati dengan pingat perak.

Lebih manis, ini adalah kali ketiga Chong Wei mengenggam pingat emas dalam acara perseorangan di Sukan Komanwel setelah turut melakukannya pada edisi 2010 di New Delhi dan 2006 di Melbourne.

Untuk rekod dalam lapan edisi yang lalu sejak New Zealand 1990, Malaysia hanya sekali gagal memenangi pingat emas iaitu pada edisi Glasgow 2014 setelah kedua-dua wakil Chong Wei Feng dan Daren Liew kecundang di peringkat suku akhir. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -