Persaingan dua pasukan teratas Liga Super dalam saingan Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) 2018 diantara Sekolah Sukan Tunku Ismail (SSTMI) dan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) ‘A’ semakin mendebarkan.

Selepas  enam perlawanan, SSTMI masih menerajui liga dengan 16 mata, namun kedudukannya terus diekori rapat  SSMP ‘A’ yang dibezakan satu mata dan kurang satu perlawanan.

Perlawanan pada Sabtu, SSTMI melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas tuan rumah, SMK Seri Titiwangsa untuk mengekalkan rekod tanpa kalah selepas enam perlawanan.

Muhd Harry Danish Mohd Haizon muncul wira SSTMI selepas menjaringkan dua gol untuk pasukannya di minit ke 3 dan 63 manakala tuan rumah menjaringkan gol menerusi Muhd Ismail Basir di minit 50.

Pencabar terdekat, SSMP ‘A’ tidak berdepan masalah untuk menundukkan SMK Seri Kota 6-0 di Melaka.

Tiga gol terhasil dibabak pertama menerusi Muhd Aliff Izwan Yuslan (minit 12), Muhd Daniel Edzuan Mohd Anuar (minit 25) dan Muhd Azafrul Farish Azman (minit 30).

Muhd Izrin Ibrahim menjadikan kedudukan 4-0 di minit ke 59 sebelum dua gol pantas Muhd Syamil Haiqal Suffian dan Muhd Nabil Qayyum Zainuddin dipenghujung perlawanan menutup pesta gol SSMP ‘A’.

Pasukan kendalian Osmera Sabah mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus selepas mengharungi lima perlawanan.

“Perlawanan adalah sukar dan tidak mudah untuk mendapatkan enam jaringan. Pasukan lawan mempunyai barisan pertahanan yang mantap, tetapi pemain pemain saya bermain dengan baik dan mengawal bola dengan baik untuk atasi pertahanan lawan,”kata Osmera.

Mengekori SSTMI dan SSMP ‘A’ SMK Za’ba yang menduduki tangga ketiga, berkongsi 10 mata dengan wakil dari Perlis, SMK Syed Hassan.

Selepas meraih satu mata ke atas SSTMI, SMK Za’ba meraih mata penuh dilaman sendiri, menewaskan SMK Mutiara Impian, 2-0.

Danish Zikry Zubir meletakkan tuan rumah didepan di minit ke 17 sebelum Abdul Rafiq Abdul Halim memastikan kemenangan untuk SMK Za’ba di minit ke 52.

“Saya melakukan perubahan dibahagian serangan dan tengah untuk lebih aggresif menjaringkan gol.

“Barisan pertahanan sudah cukup konsisten tetapi ketumpulan penyudah menjadikan kita agak sukar untuk menyempurnakan peluang didepan gol ,”kata pengendali SMK Za’ba, Hakimi Ramli.

Dalam saingan Liga Perdana pula, Muhd Alif Haikal Azmi menyelamatkan maruah SMK Putera apabila menjaringkan gol penyamaan untuk mengikat SMK Seksyen 11 satu sama.

SMK Putera masih mengekalkan kedudukan selaku pendahulu dengan 13 mata, satu mata didepan SSMP ‘B’ yang menghuni tangga kedua.

SSMP ‘B’ merapatkan jurang mata dengan pendahulu selepas menewaskan SMK Mutiara di Labuan dengan kemenangan 3-0.

Keputusan perlawanan

Liga Super

SMK Syed Hassan            1

SMK Bukit Indah               1

SMK Za’ba                           2

SMK Mutiara Impian       0

SMK Seri Titiwangsa        1

SSTMI                                   2

SMK Seri Kota                    0

SSMP ‘A’                              6

SMK Tabuan Jaya             3

SMK Bukit Nenas             0

Liga Perdana

SMK Putera                        1

SMK Seksyen 11               1

SMK Kem Terendak        1

SSMP B13 ‘B’                      1

MSS Putrajaya                   1

SMK Tun Hussein Onn   2

SMK Seberang Temerloh              1

SMK IBrahim Fikri                             3

SMK Mutiara                      0

SSMP ‘B’                               3

- Advertisement -