Hasrat Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu melepaskan jawatannya selaku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diterima selepas Mesyuarat Khas Pertama Jawatankuasa Eksekutif (Exco) tengah hari tadi.

Tunku Ismail secara rasmi menyerahkan surat peletakan jawatannya pada 25 Mac lepas sekaligus exco bersetuju untuk melantik Datuk Yusoff Mahadi selaku pemangku Presiden FAM.

Beliau yang juga Timbalan Presiden FAM akan memangku jawatan selaku Presiden sehingga Kongres Tahunan FAM kali ke-64 pada 14 Julai selepas namanya dicadang oleh Datuk Seri Subahan Kamal.

“Keputusan mesyuarat tadi kita (exco) telah setuju untuk menerima peletakan jawatan itu sebulat suara kerana kita faham hasrat Tunku Ismail itu selepas diberi penjelasan oleh baginda sendiri sewaktu di Kongres Tahunan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) di Johor Bahru.

“Dan hari ini kita (barisan exco) memahami hasrat Tunku Ismail itu walaupun dengan rasa berat hati untuk menerima peletakan jawatan itu.

“Saya ucap terima kasih kepada Datuk Seri Subahan dan seluruh barisan exco atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk memangku jawatan presiden ini sehingga Kongres FAM akan datang,” katanya lagi.

Untuk rekod, pada 15 Mac lepas, Tunku Ismail menggemparkan dunia bola sepak tanah air apabila mengumumkan meletak jawatan presiden FAM yang disandangnya itu menerusi laman rasmi Facebook Johor Southern Tigers.

 

- Advertisement -