Kehilangan penyerang utama Francis Forkey Doe kerana kecederaan jangka panjang jelas cukup dirasai Pahang yang hanya mampu mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Johor Darul Takzim dalam aksi suku akhir pertama Piala FA, pada Jumaat.

Walaupun bermain di hadapan hampir 30,000 penyokong sendiri di Stadium Darulmakmur, Pahang yang menjaringkan 13 gol dalam lima perlawanan sebelum ini gagal untuk menembusi gawang kawalan Farizal Marlias sekaligus gagal untuk membawa bekalan bagi aksi timbal balik.

Ini bermakna skuad tok gajah berdepan tugas yang cukup berat apabila bertandang ke Larkin yang dianggap sebagai kubu kebal JDT pada 20 April depan.

“Saya perlu akui segalanya serba tidak menjadi, kita bermain seolah tidak yakin dengan kemampuan kita sendiri dan tidak manfaatkan peluang kita. Keputusan perlawanan mungkin berbeza jika ada Forkey Doe. Selain itu, Patrick Cruz juga bermain dalam keadaan belum pulih sepenuhnya jadi semua ini memberi kesan kepada sentuhan penyudah.

“Kita juga banyak memberi ruang kepada lawan untuk menguasai perlawanan yang mana ia boleh dielakkan jika pemain lebih fokus. Ini adalah kesilapan kita sendiri tapi bagi saya peluang masih terbuka untuk kita mara ke separuh akhir.

“Apa yang penting sekarang kita perlu belajar menjaringkan gol tanpa Forkey Doe. Ia satu kehilangan tetapi perjalanan perlu diteruskan, kita perlu menajamkan sentuhan penyudah dan memperkemas barisan tengah. Ada banyak perkara perlu diperbaiki tetapi saya percaya kita boleh atasi semua itu dan turun dengan lebih baik di Larkin nanti,” kata Dollah.

Pahang yang merupakan  naib juara Piala FA 2017 menyingkirkan JDT di peringkat yang sama musim lalu menerusi kemenangan agregat 4-3 dalam laluan ke final.

Mereka menang 3-1 di Kuantan tetapi tewas 1-2 di Larkin. Kedua-dua pasukan juga pernah bertemu di pusingan kedua pada 2015 yang mana dimenangi Pahang menerusi sepakan penalti, manakala pada 2014 pula turut dimenangi Pahang menerusi agregat 2-1 di peringkat separuh akhir. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -