–fotoBERNAMA

Angkat berat sekali lagi menceriakan kontinjen negara dengan pingat gangsa dimenangi Muhammad Fazrul Azrie Mohdad dalam kategori 85kg pada hari ketiga temasya Sukan Komanwel 2018 di sini hari ini.

Badang negara itu menambah koleksi pingat selepas berjaya melakukan jumlah angkatan 328kg, masing-masing 145kg dalam snatch dan 183kg dalam clean & jerk.

Setakat ini, Malaysia mengutip dua emas dan satu gangsa untuk menduduki tangga kesembilan.

Kem berbasikal trek masih suram tanpa pingat dan harapan kini tertumpu kepada Fatehah Mustapa untuk menzahirkan sesuatu dalam acara keirin esok.

Bagaimanapun, pujian harus diberikan kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang mengejutkan juara dunia Matt Glaetzer pada pusingan penyingkiran acara pecut.

Berikutan kejayaan mengetepikan cabaran pelumba Australia itu, nama Muhammad Shah Firdaus menjadi bualan di Velodrom Anna Meares.

Keputusan mengecewakan melanda skuad boling padang apabila terkandas di suku akhir dalam tiga kategori iaitu berpasangan lelaki, fours dan perseorangan wanita.

Namun, skuad boling padang masih berpeluang merebut pingat dalam empat lagi kategori iaitu perseorangan lelaki, fours lelaki, berpasangan wanita dan triples wanita dalam cabaran bermula Isnin ini.

Esok, skuad negara pastinya mengintai peluang menambah kilauan pingat dalam acara olahraga, menembak, renang angkat berat, gimnastik artistik dan berbasikal.

Selain itu, acara badminton berpasukan pula, Malaysia akan berdepan England di separuh akhir, diikuti dua perlawanan separuh akhir dalam acara skuasy membabitkan Mohd Nafiizwan Mohd Adnan dalam perseorangan lelaki manakala Datuk Nicol David dalam perseorangan wanita.

- Advertisement -