Berbaki 10 perlawanan lagi untuk diharungi dalam saingan Liga Futsal Kebangsaan 2018, pasukan futsal elit dari Pahang, Kuantan Rangers dilihat masih bergelut untuk menampilkan permainan konsisten.

Dengan 11 mata dari lapan perlawanan, ianya jelas sukar untuk mengejar kedudukan juara bertahan Melaka yang unggul selaku pendahulu dengan 24 mata.

Namun pemain tonggak, Imanazuan Mohd Daud berpendapat sasaran untuk menamatkan saingan di kelompok lima teratas pada musim pertama penyertaan tampak masih relevan untuk direalisasikan.

Menurut pemain berusia 26 tahun itu yang semakin mencuri tumpuan dalam saingan LFK2018 dengan permainan bertenaga dan meyakinkan, tempoh tiga bulan rehat memberi peluang kepada pasukan untuk memperbetul apa yang silap selain memperkasa kerjasama sepasukan menjadi lebih baik.

“Kami akui ini bukan level kami yang sebenar, kami telah mengecewakan YAM Presiden, pengurusan, barisan kejurulatihan dan penyokong dengan prestasi yang tidak mencapai tahap diharapkan.

“Tetapi kami tidak boleh terus meratapi apa yang sudah berlalu sebaliknya perlu bersatu, jadikan ianya sebagai panduan untuk bangkit menjadi lebih kuat.

“Sekarang LFK berehat panjang, kami tidak boleh berehat. Kami perlu tingkatkan kualiti dan buktikan kehadiran kami di sini bukan untuk jadi pelengkap jadual tapi boleh memberi tentangan sengit. Bagi saya, jika dapat menamatkan cabaran musim pertama dalam kelompok lima teratas sudah cukup bagus,” ujar Imanazuan yang merupakan jurutera instrumentasi.

Untuk rekod, Kuantan Rangers yang diperkuatkan tiga pemain kebangsaan iaitu Syafiq Hamzah, Yazid Kamaruzuan dan Akmarulnizam Idris ketika ini berada di kedudukan keenam setelah gagal untuk menang dua aksi terakhir menentang Selangor United MPSJ dan Pulau Pinang MBPP meskipun sebelum itu melakar tiga kemenangan berturut-turut.

Sementara itu, Naib Presiden pasukan, YM Tengku Dato’ Indera Aidy Ahmad Shah merupakan antara individu paling kecewa dengan kegagalan merakam kemenangan pada minggu keempat saingan.

Beliau menuntut barisan kejurulatihan agar mengenalpasti ‘musuh utama’ yang menyebabkan mereka sentiasa gagal beraksi konsisten dan dapat menunjukkan keghairahan yang lebih tinggi untuk membantu Kuantan Rangers kembali sebagai pasukan lebih kuat apabila liga bersambung pada Julai nanti. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -