Selepas gagal melayakkan diri ke Piala FA, Johor Darul Takzim (JDT) mahu melupakan kekecewaan itu dan memberi fokus kepada saingan Piala AFC.

Tekanan semakin memuncak buat JDT yang perlu menang ke atas wakil Vietnam, Song Lam Nghe An FC malam ini.

Skuad kendalian Raul Longhi kini menghuni tangga ketiga kumpulan H dengan tujuh mata dan memerlukan kemenangan untuk terus mencerahkan peluang ke saingan kalah mati.

Namun, pengendali kelahiran Argentina ini berdepan tugas getir untuk menyusun kesebelasan utama kerana JDT perlu bersedia untuk mengharungi saingan Liga Super berdepan Kelantan pada Sabtu.

“Kita perlu merehatkan beberapa pemain utama untuk berdepan Kelantan pada 28 April ini kerana perlawanan itu juga sangat penting.

“Apa pun, kemenangan ke atas Song Lam Nghe An FC akan menaikkan semangat pasukan,” kata Longhi .

Jurulatih berusia 65 tahun ini juga mengharapkan kelebihan beraksi di laman sendiri menjadi kelebihan buat JDT yang turut perlu mencari jaringan yang besar untuk memintas Song Lam Nghe An FC yang berada di tangga kedua.

Pemain pemainnya juga percaya apa sahaja mampu berlaku dalam bolasepak, namun beliau mahu sesiapa sahaja yang diturunkan malam ini kekal fokus sepanjang perlawanan.

“Mereka mempunyai jentera serangan yang pantas, tetapi jika kita beraksi dengan corak permainan kita, maka saya merasakan peluang kita menang adalah cerah,” kata Longhi lagi. 

- Advertisement -