Pemain tengah, S. Veenod bersedia mengambil tindakan undang-undang ke atas Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang menggugurkannya dengan cara yang sangat tidak profesional.

Pemain itu yang diikat kontrak selama dua tahun menjelaskan dia langsung tidak diberitahu secara rasmi oleh sesiapa bahawa sudah digugurkan KAFA sebaliknya hanya mengetahui perkara itu melalui akhbar dan media sosial.

“Saya tidak tahu apa status saya dan kenapa diperlakukan begini. Saya tunggu hitam putih dari KAFA dan alasan mereka mahu gugurkan saya, saya bukannya alami kecederaan.

“Saya diikat dua tahun jadi jika mahu lepaskan saya, bukan begini caranya seolah tidak tahu menguruskan pasukan, mereka kena ikut peraturan yang betul dan kena bayar pampasan, saya tidak teragak-agak memanjangkan perkara ini ke muka pengadilan,” katanya.

Pemain itu yang terkenal dengan jolokan ‘Pognod’ (Pogba-Veenod) hadir untuk menjalani latihan seperti biasa tetapi terkejut apabila diarahkan pulang oleh Fajr Ibrahim atas alasan namanya tiada dalam senarai pemain.

Walaupun masih berkontrak secara rasmi, dia tidak dibenarkan berlatih dan Fajr juga memberitahu dia tiada dalam perancangan.

Namun sebagai pemain professional yang menghormati kontrak, Veenod membuat keputusan untuk terus kekal di padang (memerhati dari tepi padang) sehingga tamat latihan.

Selain Veenod, beberapa lagi pemain lain yang dilepaskan KAFA secara panik dan ‘tidak matang’ adalah Shukri Hamid, Norfarhan Muhammad, Ferdinand Sinaga, Bruno Lopes, Hattaphon Bun Aun, Nasharizam Roslan, Syafiq Rahman, Rozaimi Azwar dan Faizol Nazlin Sayuti. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -