Selepas empat hari suram tanpa kilauan emas, kontijen negara akhirnya menambah pingat emas ketiga pada hari ketujuh Sukan Komanwel Gold Coast 2018 menerusi gandingan sensasi Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong.

Pandelela-Jun Hoong mengungguli acara 10m platform seirama wanita di Pusat Akuatik Optus dengan mengumpul 328.08 mata, mengecewakan gandingan Kanada Meaghan Benfeito-Caeli McKay yang mengumpul 312.12 mata.

Lebih manis, pingat gangsa turut menjadi milik Malaysia menerusi gandingan Leong Mun Yee-Nur Dhabitah Sabri dengan 308.16 mata,  memintas penerjun Australia, Teju Williamson-Melissa Wu pada terjunan terakhir.

Ini adalah gangsa kedua buat Mun Yee-Dhabitah hari ini setelah turut memenangi gangsa di sebelah pagi dalam acara 3m papan anjal seirama wanita.

Sementara itu, meskipun mempunyai tiga penerjun di peringkat akhir, ia belum cukup untuk menghadiahkan Malaysia kilauan pingat dari acara 1m papan anjal lelaki.

Syafiq muncul sebagai penerjun terbaik negara setelah berkesudahan di tempat kelima dari 12 penerjun dengan mengumpul 378.90 mata.

Manakala Amsyar pula mengumpul 369.40 mata untuk menamatkan saingan di tempat keenam dan Tze Liang sekadar menduduki tempat kesebelas dengan 319.00 mata.

Pingat emas bagi acara ini dimenangi oleh penerjun England, Jack Laugher yang mengumpul 438.00 mata sekaligus mempertahankan emas yang dimenangi di Glasgow empat tahun lalu.

Pingat perak pula dimenangi penerjun tuan rumah, James Connor (412.45 mata) dan gangsa milik James Heatly (Scotland) dengan catatan 399.25 mata. – OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -