Kegagalan kontinjen Malaysia di sukan Komanwel 2018 di Gold Coast cukup panas dengan kritikan khususnya terhadap pengurusan program PODIUM.

Pelaburan RM 140 juta ringgit berakhir dengan 7 pingat emas, pingat perak dan 12 pingat gangsa untuk berada di kedudukan ke 12, kurang dua anak tangga daripada sasaran yang ditetapkan.

Hanya kerana satu kegagalan, PODIUM yang baru mencecah usia dua tahun sejak ditubuhkan pada 2016 dikecam dan dilabel gagal.

Kepakaran yang dibawa oleh Tim Newenham masih belum mencapai tahap optimum dalam tempoh dua tahun dan memerlukan masa untuk diadaptasi ke dalam sistem latihan dan atlet di Malaysia.

Kunci Petunjuk Prestasi PODIUM sepatutnya diletak pada Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun. Justeru dua temasya besar 2018, Sukan Komanwel dan Sukan Asia seharusnya menjadi kayu ukur sejauh mana pencapaian pasukan PODIUM untuk membantu atlet negara yang berada di bawah senarainya.

Tim Newenham ketika di Gold Coast juga menyatakan analisa terperinci tentang persembahan dan prestasi atlet negara di Golad Coast sudah diperolehi dan akan dikaji.

Tidak wajar untuk ‘menendang’ beliau keluar daripada kerusi utama PODIUM ketika ini, sebaliknya, beri peluang dan masa untuk pasukannya menilai dan menambah baik segala aspek sebelum ujian kedua di Jakarta dan Palembang kelak.

Tidak banyak perubahan skrip dalam prestasi atlet yang menggalas tugas sepanjang di Sukan Komanwel.

Sebahagian atlet yang disasarkan mampu mencapai pingat gagal melakukannya sebaliknya, mereka yang tidak diletakkan sebarang sasaran, melakar kejutan.

Mental dilihat sebagai salah satu faktor kepada kegagalan, malah, penglibatan mereka yang tidak cergas 100 peratus menjelang hari pertandingan atau mengalami masalah kesihatan perlu dinilai semula secara teliti.

Kira kira empat bulan sebelum temasya Sukan Asia di Indonesia bermula, saingan pastinya lebih sukar dan mencabar.

Keputusan yang terburu buru untuk menukar struktur pentadbiran, malah ada yang mencadangkan untuk ‘menyerahkan’ PODIUM kepada Majlis Sukan Negara daripada Institut Sukan Negara adalah tidak relevan ketika ini.

Sudah tentu kesemua atlet sedang melakukan persiapan untuk mengharungi sukan Asia yang akan bermula pada Ogos.

Tiada sasaran khusus ketika ini tetapi secara logiknya, pencapaian lima emas, 14 perak dan 14 pingat gangsa perlu diatasi.

Hakikat yang perlu ditelan dalam arena sukan di Malaysia, untuk mencapai keputusan yang optimum serta mencari dan membentuk atlet ’emas’ seperti Datuk Lee Chong Wei tidak akan muncul ‘segera’.

Mengimbau kembali ketika perjuangan Datuk Lee Chong Wei dalam acara individu, pastinya akan menyatukan hampir semua peminat sukan di Malaysia tidak kira latar belakang yang menanti detik manis untuk melihat kalungan pingat emas menjadi milik kontinjen negara.

Situasi ini sepatutnya wujud dikalangan semua pihak yang terlibat dalam arena sukan di Malaysia.

Bantu, sumbangkan idea atau pandangan kepada pengurusan, dan kejurulatihan untuk menambahbaik kekurangan yang ada.

Situasi yang wujud ketika ini tidak ubah seperti bolasepak, melantik individu dengan harapan mampu hasilkan kejayaan dalam tempoh masa yang singkat.

 

 

 

 

 

Mentaliti perlu berubah jika mahukan perubahan, tetapi telan hakikat ini; keputusan tidak akan datang dalam masa yang singkat.

Pengalaman, sistem dan pendekatan yang dibawa oleh tenaga pakar dari luar negara sepatutnya dijadikan petunjuk, bahan rujukan dan ditambah baik jika Malaysia benar benar bersedia untuk menggunakan tenaga pakar tempatan.

Malaysia mempunyai atlet yang bertaraf dunia, namun, kontinjen Malaysia belum mampu untuk bersaing secara kompetitif dengan negara negara yang mendominasi di temasya sukan pelbagai besar seperti Sukan Komanwel, Sukan Asia bahkan Sukan Olimpik.

Olimpik 2020 semakin hampir, tidak mustahil emas pertama mampu hadir jika SEMUA berganding bahu dan bukan meletakkan agenda peribadi, populariti mahupun nafsu sebagai keutamaan.

- Advertisement -