Selepas gagal dalam empat perlawanan, SMK Presint 14 (1) kembali ke landasan kemenangan selepas berpesta gol ke atas SMK Seri Titiwangsa  5-1 pada Sabtu.

Tiga gol terhasil di separuh masa pertama menerusi Mohd Ashraf Iqwan Anuar (minit 17), Firas Faiq Ahmad Farid (minit 23) dan Muhd Effizul Haikal Amrullah (minit 34).

Muhd Noor Syafiq Rosdi terus menceriakan skuad kendalian Rozmi Musa dengan gol keempat di minit ke 42, namun Mohd Shahrol Nizam Sudeng Badae menghidupkan perjuangan SMK Seri Titiwangsa apabila meledak gol lima minit berselang.

Abd Mubin Ab Wahab menutup pesta gol SMK Presint 14 (1) dengan gol kelima di minit 69 untuk memberikan kemenangan kedua buat pasukan Akademi Felda ini selepas enam perlawanan.

“Kemenangan adalah perkara kedua dalam pasukan ini. Matlamat kami adalah mahu mendedahkan kepada pemain pemain ini tentang bolasepak.

“Tahniah kepada pemain pemain selepas berjaya meraih kemenangan pertama selepas tiga kali beraksi di gelanggang sendiri, tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki kerana mereka masih belum konsisten,”kata pengendali SMK Presint 14 (1) Rozmi Musa.

Selepas enam perlawanan, SMK Presint 14 (1) naik dua anak tangga ke kedudukan 10, berkongsi enam mata dengan SMK Seri Kota (Melaka) dan SMK Tabuan Jaya (Sarawak) yang menghuni kedudukan ke sembilan dan lapan.

Sementara itu, rekod tanpa kalah Sekolah Sukan Tunku Ismail (SSTMI) lebur selepas tujuh perlawanan susulan kekalahan 0-1 ke atas SMK Bukit Indah.

Gol kemenangan SMK Bukit Indah dijaringkan Muhd Haiqal Khairuddin di pertengahan separuh masa pertama sekaligus meletakkan SSTMI ke tangga kedua.

Peluang ini dimanfaatkan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) ‘A’ untuk naik ke tangga teratas Liga Super selepas melakar kemenangan selesa 3-0 ke atas tuan rumah SMK Tabuan Jaya.

Mohd Khairil Mohd Zain meledak dua gol untuk SSMP ‘A’ manakala satu lagi gol disumbang Muhd Adam Uwais Mohd Armi.

SSMP ‘A’ mengumpul 18 mata selepas mengharungi enam perlawanan, dua mata didepan SSTMI.

Dalam saingan Liga Perdana, SMK Putera terus mengungguli carta selepas melakar kemenangan tipis 3-2 ke atas SMK Datuk Peter Mojuntin di Sabah.

Mohd Aidil Azham Abdul Hadi muncul wira SMK Putera apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan di penghujung perlawanan sekaligus membawa pulang tiga mata berharga.

SSMP ‘B’ terus mengekori rapat pendahulu, mengumpul 15 mata, kurang satu mata dengan pendahulu selepas turut meraih tiga mata, susulan kemenangan 3-0 ke atas SMK Seberang Temerloh.

Mengekori rapat dua pendahulu, SMK Tun Hussein Onn yang melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas SMK Ibrahim Fikri untuk berada di tangga ketiga dengan 12 mata selepas mengharungi lima perlawanan.

 

KEPUTUSAN

LIGA SUPER      

 

SMK Mutiara Impian                    2

SMK Seri Kota                             0

 

SMK Presint 14 (1)                       5

SMK Seri Titiwangsa                     1

 

SMK Bukit Indah                         1

SSTMI                                       0

 

SMK Tunku Anum                                0

SMK Za’ba                                  0

 

SMK TAbuan Jaya                        0

SSMP ‘A’                                    3

 

 

LIGA PERDANA

 

SSMP ‘B’                                    3

SMK Seberang Temerloh              0

 

MSS Putrajaya                            3

SMK Kem Terendak                     1

 

SSMP B13 ‘B’                              0

SMK Seksyen 11                         2

 

SMK Tun Hussein Onn                 1

SMK Ibrahim Fikri                        0

 

SMK Datuk Peter Mojuntin            2

SMK Putera                                        3

- Advertisement -