Saingan Liga Super bagi Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) minggu kelima terus dihidangkan dengan aksi menarik.

Selepas empat minggu berada di kedudukan kedua, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) naik ke tangga teratas selaku peneraju liga meskipun terlepas peluang untuk meraih 3 mata di laman sendiri selepas terikat dua sama dengan SMK Za’ba.

Bagi pengendalinya, M Kaviarasu, keputusan yang terhasil pada Sabtu lalu masih boleh diterima kerana pemain pemain masih lagi dalam proses untuk menyesuaikan diri.

“Mereka baru sahaja dikumpulkan tiga bulan lalu. Masih banyak yang perlu mereka pelajari daripada pelbagai aspek.

“Kita bermain seperti biasa, tetapi peluang yang ada kita tidak manfaatkan dengan sebaiknya. Yang penting mereka dapat membentuk kesefahaman diantara satu sama lain dan mampu mengekalkan rekod tanpa kalah selepas empat perlawanan,”kata Kaviarasu.

Beraksi di laman sendiri, SSTMI bagaimanapun ketinggalan seawal minit ketiga permainan apabila Muhd Hafidzuddin Murad menjaringkan gol untuk meletakkan pelawat didepan.

Namun kem skuad kendalian M Kaviarasu kembali tenang selepas Mohd Alban Hud Mohd Yuzli menyamakan kedudukan di minit ke 29.

Kedua dua pasukan terus garang memburu gol, namun tuan rumah lebih bijak mengatur langkah apabila Muhd Azrin Shah Rohaizy meletakkan SSTMI didepan 2-1 di minit ke 38.

Impian SSTMI untuk menamatkan perlawanan dengan tiga mata tidak kesampaian apabila Alief Iskandar Mahizan meledak gol kedua untuk SMK Za’ba di minit ke 59 sekaligus kedua dua pasukan berkongsi satu mata.

“Apa yang sentiasa saya katakan kepada pemain adalah bermain sehingga terakhir ditiup. Mesti dapatkan gol sehingga minit terakhir perlawanan.

“Kita nak menang, tetapi dapat keputusan seri, kami tidak akan mengaku kalah selagi belum waktunya,”kata jurulatih SMK Za’ba, Hakimi Ramli

SSTMI menerajui liga dengan 13 mata selepas beraksi lima perlawanan, diikuti Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B14 ‘A’ yang mengumpul 12 mata, namun kurang satu perlawanan.

Manakala SMK Za’ba jatuh ke tangga kelima dengan 7 mata berjaya diperolehi setakat ini.

Di Terengganu, naib juara Piala Sumbangsih 2018, SMK Mutiara Impian memperbaiki kedudukan dalam liga selepas melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas SMK Bukit Nenas.

Gol kemenangan SMK Mutiara Impian dijaringkan Muhd Ezaimy Haizat Ahmad Fazuli di minit 64 untuk meletakkan pasukannya di tangga ke empat dengan enam mata berjaya diraih selepas beraksi tiga perlawanan.

Turut mencatat kemenangan SMK Seri Kota, Melaka yang menang tipis 1-0 ke atas SMK Syed Hassan hasil jaringan Abdul Rahman Daud di minit kedua perlawanan.

SMK Seri Kota kini menduduki tangga ke enam dengan enam mata selepas mengharungi empat perlawanan.

Dalam saingan Liga Perdana pula, SMK Putera, Kelantan terus mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus selepas melakar kemenangan selesa 4-0 ke atas SMK Seberang Temerloh.

Jaringan hanya terhasil dibabak kedua perlawanan selepas kedua dua pasukan buntu mencari gol pada separuh masa pertama.

Muhd Adam Daniel Hasban memecah kebuntuan di minit 44 sebelum Muhd Alif Haikal Azmi menjadikan kedudukan 2-0 tiga minit berselang.

Muhd Najib Mohd Shukri dan Syafiq Aiman Maharim memastikan kemenangan bergaya untuk Kelantan apabila masing masing menyumbat satu gol di minit ke 65 dan 70 untuk mengekalkan rekod kemenangan dalam semua perlawanan selepas empat perlawanan.

Mengekori rapat dibelakang, Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) B14 ‘B’ yang turut mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus.

SSMP B14 ‘B’ melakar kemenangan ketiga berturut turut selepas menundukkan SMK Datuk Peter Monjuntin, Sabah 4-0.

Mohd Danial Haiqal Shaipol membuka tirai gol di minit 5 sebelum Adam Daniel Mohd menjadikan kedudukan 2-0 untuk SSMP B14 ‘B’ di minit 39.

Ahmad Basheer Anas Sam Suri muncul pemain terbaik selepas meledak dua gol di minit 61 dan 70 untuk memastikan tiga mata berharga milik pasukannya.

 

KEPUTUSAN PERLAWANAN

 

SMK Bukit Nenas                                         0

SMK Mutiara Impian                                 1

 

SSTMI                                                            2

SMK Za’ba                                                    2

 

SMK Syed Hassan                                      0             

SMK Seri Kota                                             1

 

SMK Putera                                                 4

SMK Seberang Temerloh                         0

 

SMK Seksyen 11                                        4

SMK Kem Terendak                                0

 

SMK Ibrahim Fikri                                0     

SMK Gunung Rapat                              0

 

SMK Mutiara                                               1             

SSMP B13 ‘B’                                                3

 

SMK Datuk Peter Monjuntin                   0               

SSMP B14 ‘B’                                               4

- Advertisement -