Terengganu FC melonjak ke tangga kedua carta Liga Super sekurang-kurangnya untuk 24 jam namun mereka pastinya menyalahkan diri sendiri setelah sekadar mencatat seri 1-1 menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pada Jumaat.

Pada ketika tiga mata sangat diperlukan untuk membantu mereka menghimpit rapat kedudukan pendahulu, Johor Darul Takzim, Terengganu FC membenarkan Lang Merah membawa pulang satu mata menerusi jaringan penyamaan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-66.

Skuad bimbingan Irfan Bakti sebelum itu mendahului 1-0 menerusi jaringan pemain sayap J.Parthiban yang merembat menewaskan Ifwat Akmal Chek Kassim pada minit ke-44 setelah menerima hantaran cantik dari Bruno Suzuki.

Keputusan seri ketiga dari tujuh perlawanan menyaksikan skuad bimbingan Irfan Bakti memintas Pahang dengan mengumpul 12 mata manakala Kedah kekal di tangga keenam dengan 10 mata – Pahang berpeluang kembali ke kedudukan kedua sekiranya berjaya menewaskan Melaka United di gelanggang sendiri pada Sabtu.

“Saya tidak berpuas hati dengan keputusan ini kerana kita sepatutnya mendapat tiga mata. Kita tidak tajam dan ia membawa padah. Ini bukan keputusan yang kita mahukan,” ujar Irfan Bakti selepas tamat perlawanan.

Dalam satu lagi aksi, PKNS FC bimbingan Datuk K.Rajagobal terselamat dari mengalami kekalahan mengejut di gelanggang sendiri setelah jaringan masa kecederaan Nurridzuan Abu Hassan membantu mengikat PKNP FC 1-1.

Aksi di Stadium Shah Alam itu menyaksikan PKNP FC bimbingan Abu Bakar Fadzim terlebih dahulu di depan pada minit ke-45 menerusi jaringan Muhammad Mohd Safar.

Satu mata yang diraih menyaksikan PKNS naik ke tangga keempat dengan 11 mata manakala PKNP pula kekal di tangga kesembilan dengan tujuh mata.

Tiga mata yang diraih membantu PKNP melonjak satu tangga ke tangga kelapan dengan sembilan mata manakala PKNS FC kekal di tangga kelima dengan 10 mata.OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -