Pasukan terjun negara mengakhiri saingan di Sukan Komanwel Gold Coast 2018 pada Sabtu dengan prestasi suram setelah Nur Dhabitah Sabri, Kimberly Bong dan Chew Yiwei kesemuanya gagal menyerlah di final. 

Setelah kejayaan Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong meraih emas dan Nur Dhabitah-Leong Mun Yee menggenggam gangsa pada Rabu lalu, terjun dilihat mempunyai prospek  menyumbang lebih banyak tambahan pingat buat kontijen negara.

Namun malangnya itu jugalah menjadi kali terakhir atlet negara menaiki podium di Pusat Akuatik Optus dan tiada tambahan pingat disaksikan sepanjang tiga hari yang terakhir.

Dalam acara final 3 meter papan anjal wanita pada Sabtu, Kimberly dan Nur Dhabitah sekadar menjadi pelengkap saingan – Kimberly menamatkan saingan di tempat kesepuluh dari 12 penerjun dengan 270.10 mata manakala Nur Dhabitah pula tempat kesebelas dengan mengumpul 264.90 mata.

“Agak gementar tetapi beraksi di sini satu pengalaman yang tidak ternilai bagi saya kerana ini adalah penampilan sulung saya di Komanwel. Saya beraksi tiga hari berturut-turut jadi mental juga penat tetapi secara keseluruhan saya berpuas hati kerana saya tidak banyak melakukan kesilapan besar,” ujar Kimberly, penerjun berusia 16 tahun.

Pingat emas bagi acara tersebut dimenangi atlet Kanada, Jennifer Abel (366.95 mata) manakala pingat perak dan gangsa dimenangi atlet tuan rumah Maddison Keeney (366.55 mata) dan Annabele Smith (336.90 mata).

Yiwei yang beraksi dalam acara final 10m platform lelaki pula sekadar berkesudahan di tempat kesembilan dengan mengumpul 362.10 mata.

Pingat emas dimenangi Domonic Bedggood dari Australia (451.15 mata), perak menjadi milik Matthew Dixon dari England (449.55 mata) dan gangsa dimenangi penerjun Kanada Vincent Riendeau (425.40 mata).

Dengan pungutan satu emas dan dua gangsa, pasukan terjun negara gagal untuk mengulangi mahupun memperbaiki pencapaian satu emas, dua perak dan satu gangsa di Glasgow 2014 serta satu emas, satu perak dan dua gangsa di New Delhi 2010. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -