Walaupun beraksi buruk, Selangor menamatkan penantian tujuh tahun untuk beraksi di separuh akhir Piala FA setelah mara dengan menyingkirkan Kuala Lumpur menerusi tendangan penalti di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Sabtu.

Skuad kendalian Nazliazmi Nasir terlebih dahulu dihadiahkan detik cemas apabila Kuala Lumpur yang ketinggalan tiga gol hasil kekalahan 0-3 pada aksi suku akhir pertama, mengotakan janji untuk menterbalikkan keputusan apabila melakar kebangkitan sensasi dengan mencatat kemenangan 3-0.

Penyerang kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak membuka tirai jaringan pada minit ke-15 diikuti jaringan  Paolo Josue pada minit terakhir separuh masa pertama, sebelum Syazwan Andik menjadikan kedudukan agregat 3-3 pada minit ke-54.

Tiada tambahan jaringan disaksikan pada masa tambahan dan perlawanan yang berlanjutan ke penalti menyaksikan Selangor menang 8-7 setelah Khairul Azhan menyelamatkan sepakan Indra Putra Mahyudin dan Firdaus Fauzi.

Kali terakhir Selangor layak ke separuh akhir adalah pada 2011 manakala KL bimbingan Fabio Marciel pula kempunan menoktahkan penantian selama 13 tahun.

Di separuh akhir nanti, Selangor akan menentang seteru ‘senegeri’, PKNS FC bimbingan Datuk K. Rajagobal.

PKNS FC mara setelah mengetepikan Perak dengan agregat 4-3 setelah aksi timbal balik di Stadium TLDM berkesudahan dengan keputusan seri 2-2.

Setelah terikat seri tanpa jaringan di separuh masa pertama, Rodney Akwensivie dan K.Gurusamy meletakkan sang semut merah 2-0 di hadapan namun Norhakim Hassan dan Nasir Basharudin memastikan kebangkitan lewat menerusi jaringan pada minit ke-72 dan 82.

Ia bagaimanapun sudah terlewat untuk skuad Mehmet Durakovic untuk cuba menterbalikkan keputusan, sekaligus menyaksikan PKNS mara ke kelompok empat terbaik buat kali kedua dalam tempoh tiga musim. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -