Bolasepak Kelantan berada di zon kritikal namun masih belum terlewat untuk menyelamatkan musim mereka, bergantung kepada sejauh mana Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Bibi Ramjani Ilias Khan dan Ketua Jurulatih sanggup menolak ke tepi ego dan pendirian mereka.

Demikian pandangan bekas pemain kebangsaan yang juga pemerhati bolasepak tanah air, Malek Rahman yang turut bersimpati dengan nasib dialami juara treble 2012 itu yang kini berdepan pelbagai isu dalam dan luar padang sehingga menyebabkan mereka kini menghuni tangga kedua tercorot.

Menurut Malek, “Saya tidak pasti siapa yang nasihatkan Presiden dan jurulatih untuk buat keputusan seperti ini (gugur semua pemain senior). Semuanya terlalu drastik.

“Saya sokong pemain muda diberi peluang, tetapi itu tidak bermakna pasukan awak langsung tidak perlukan pemain senior, tiada pasukan yang akan buat macam tu. Kalau kewangan jadi alasan, dua atau tiga pemain tonggak masih boleh dikekalkan, bukan gugur semua.

“Dah tahu tiada duit, presiden sepatutnya mengerah exco-exconya all-out untuk membantu dapatkan penajaan, tegas dan vokal. Bukannya gunakan jurulatih untuk buat kenyataan kepada media bahawa hanya presiden seorang sahaja yang bekerja. Takkanlah awak nak handle team bola dengan harapkan duit dari poket sendiri dan geran tak seberapa dari MFL semata-mata,” katanya.

Malek juga menjelaskan ramai kawan-kawannya dari kalanga bekas pemain pernah cuba memberi nasihat kepada KAFA atas dasar sayangkan bolasepak Kelantan tetapi tidak diendahkan.

“Saya tidak kenal secara peribadi dengan presiden mahupun jurulatih, tetapi apa yang saya lihat masing-masing ada ego mereka. Jika ianya diketepikan demi kepentingan pasukan maka bolasepak Kelantan boleh diselamatkan. Saya orang Selangor, tetapi saya tidak mahu tengok bola Kelantan jatuh,” tambahnya.

Malek berkata antara langkah segera yang boleh diambil adalah mengembalikan semula beberapa pemain yang digugurkan tetapi masih belum ditamatkan kontrak ke dalam kesebelasan utama.

“Dalam kekangan kewangan semasa, saya dengar Kelantan tengah mencari pemain baru, pemain import dan tempatan. Dah gugur habis, cari yang lain pula, mungkin mereka cari yang level rendah, gaji rendah. Soalan saya, kalau dah tahu level dia rendah, kenapa tak pakai jer yang sedia ada yang sah-sah level lagi bagus?

“Awak ada ubat gred A di dalam rumah, kenapa nak cari ubat gred D dekat farmasi? Buat masa ini, kontrak pemain seperti S.Veenod, Do Dong Hyun, Morgaro Gomis, Farisham (Ismail) masih berjalan, ini apa yang saya tahu, saya minta maaf kalau kontrak mereka sudah ditamatkan. Jadi selagi mereka masih pemain Kelantan, kenapa nak simpan? Guna sahaja la, bagi mereka main.

“Kalau rasa dah jumpa pengganti dan sampai masa nak tamatkan kontrak, baru tamatkan. Fajar tidak perlu ego, ego tidak membawa ke mana. Awak senang rasa nak merajuk, boleh letak jawatan, tapi kalau team jatuh, siapa nak selamatkan?” ujar Malek. MUHD AIMAN 

- Advertisement -