Persaingan tiga penjuru bagi perebutan Presiden FAM seakan akan menggambarkan ahli ahli gabungan dalam FAM memerlukan perubahan dan calon yang benar benar layak untuk menerajui badan induk bolasepak Malaysia.

Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi melihat senario ini sebagai bukan tugas mudah dan memerlukan kerja keras untuk meyakinkan ahli ahli gabungan andai bersetuju untuk bertanding sebelum pengesahan akhir ditutup pada Jun.

Hakikatnya, Azim mungkin tiada pengalaman dalam arena bolasepak dan mungkin menjadi faktor utama kepada keputusan pemilihan di Kongres FAM ke 54 pada Julai.

Namun, beliau yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ada pengalaman tersendiri dalam mengurus dan mentadbir beberapa syarikat sebelum menceburi industri sukan.

Ketika sidang media petang semalam, ada mesej tersirat yang disampaikan kepada pengurusan FAM semasa.

‘Kalau syarikat itu merudum, bukan sahaja pengerusi patut meletak jawatan, pengurusan juga perlu meletakkan jawatan.

Kalau nak kata pengurusan FAM begitu baik, mengapa prestasi bolasepak negara tidak baik? Mengapa presiden sahaja yang letak jawatan. Sepatutnya pengurusan juga perlu ambil tanggungjawab,”kata Azim.

Pemilik kelab Johor Darul Takzim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dipilih sebagai Presiden FAM pada Mac tahun lalu, namun kedudukannya hanya bertahan selama setahun sebelum beliau melepaskan jawatan itu pada penghujung Mac tahun ini.

Pendedahan awal Tunku Ismail sebaik memegang jawatan presiden adalah ‘kehilangan’ dana sebanyak RM 40 juta dan ia masih belum didedahkan puncanya sehingga kini.

Siapa pun yang dipilih kelak, diharapkan tidak timbul kelebihan atas dasar populariti, kuasa sedia ada mahupun pengalaman.

Jika rakyat Malaysia bersedia untuk menerima perubahan kepimpinan baru selepas Pilihanraya Umum ke 14 baru baru ini, ahli ahli gabungan juga seharusnya ‘berhak’ untuk memilih secara professional siapakah pucuk pimpinan baru FAM Julai nanti.

Ketiga tiga calon ada kelebihan masing masing, hanya yang menjadi penentu, misi, visi yang akan disampaikan untuk memikat ahli ahli gabungan.

 

- Advertisement -