Pengendali Melaka, E.Elavarasan percaya masa depan pasukan itu akan lebih baik selepas ini, setelah berjaya mengutip mata dalam tugasan pertamanya dengan mengikat Perak 0-0 pada Sabtu.

Walaupun hanya satu mata, ia berjaya mengakhiri rekod buruk Melaka tewas empat kali berturut-turut sebelum ini dan Elavarasan berharap penyokong sang kancil memberinya masa untuk menghasilkan keputusan dan tidak mengharapkan magis darinya.

Elavarasan juga berpendapat Melaka telah membuat keputusan tepat dengan mendapatkan Khairul Fahmi dan menganggap dia sebagai rekrut cukup berbaloi apabila tampil cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya sekaligus membuat Perak berputih mata gagal melebarkan rekod kemenangan kepada enam perlawanan berturut-turut.

“Pemain seperti Khairul Fahmi dimahukan mana-mana jurulatih, saya gembira untuk bekerjasama dengannya. Kita juga perlu perkasakan import tapi ingat, bolasepak adalah permainan berpasukan jadi semua pemain perlu memberi sumbangan bukan harap magis dari pemain lain semata-mata. Saya harap pasukan akan bertambah baik dan lebih menyerlah selepas ini,” ujar Elavarasan.

Dalam pada itu, pengendali Perak Mehmet Durakovic turut memuji kecemerlangan ditunjukkan penjaga gol kebangsaan itu dan menyifatkannya sebagai pemain terbaik perlawanan.

“Kami seharusnya menjadi pemenang jika tidak kerana dia (Khairul Fahmi). Ada dua atau tiga peluang terbaik untuk kami jaringkan gol tetapi dia menggunakan sebaik mungkin pengalaman luasnya untuk menyelamatkan percubaan itu dan prestasinya memang berkelas dunia. Dia kelihatan cukup yakin,” kata Mehmet.

Untuk rekod, Khairul Fahmi atau Apek menyertai Melaka di jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang mula dibuka sejak minggu lalu setelah Kelantan membuat keputusan menggugurkannya kerana masalah kewangan kritikal – ini adalah kali pertama Apek menyarung jersi pasukan lain selepas 10 musim bersama Kelantan.

- Advertisement -