Seorang lagi tonggak utama dan pemain keempat paling lama berkhidmat bersama pasukan, Nik Shahrul Azim Abdul Halim menjadi pemain terbaru meninggalkan Kelantan.

Walaupun baru dua hari lalu Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Bibi Ramjani Ilias Khan menyatakan pemain itu akan kekal di Kota Bharu, namun dia menjelaskan keputusan melepaskan Nik Shahrul dibuat demi kelangsungan karier pemain pertahanan itu.

Nik Shahrul menyertai bekas rakan sepasukan Qayyum Marjoni Sabil di PKNS kendalian Datuk K. Rajagobal. Apa yang mengejutkan dia adalah pemain ke-13 dilepaskan The Red Warriors sama ada secara tamat kontrak/pinjaman manakala lapan pemain lagi masih tidak tahu masa depan mereka.

Pemain-pemain yang telah dilepaskan sebelum ini adalah Rozaimi Azwar, Faizol Nazlin, Nasharizam Roslan, Tengku Qayyum Ubaidillah, Shafiq Rahman, Sukri Hamid, Hattaphon Bun Aun, Norfarhan Mohamad, Zulfahmi Awang, Bruno Lopes, Ferdinand Sinaga dan yang terakhir Khairul Fahmi Che Mat yang menyertai Melaka Utd.

Sementara itu, Bibi Ramjani mengalu-alukan mana-mana pemain import atau ejen mereka untuk menghantar CV serta video mereka kepada KAFA untuk dibuat penilaian dan menjalani trial bersama pasukan.

Buat masa ini Kelantan mempunyai empat import namun tiga pemain iaitu Do Dong Hyun, Mohamed Ghaddar dan Morgaro Gomis sudah dimaklumkan tiada dalam perancangan namun mereka masih kekal di dalam skuad.

Adalah diketahui umum bahawa tindakan menggugur atau menyisihkan pemain-pemain tonggak sama ada import atau tempatan ini dibuat kerana masalah kewangan kritikal dialami oleh KAFA.

Malah beberapa pemain yang enggan bersetuju kontrak mereka ditamatkan, didera secara mental dengan tidak dibenar menyertai latihan bersama rakan sepasukan lain, selain dikerah menjalani latihan secara berasingan pada jam 11 pagi ketika matahari sedang mencanak tegak di atas kepala, dan ini berterusan di bulan Ramadhan.

Macam-macam dilakukan oleh KAFA bagi menendang keluar pemain bergaji tinggi di dalam pasukan dengan alasan beban kewangan mencapai tahap kritikal, namun yang menghairankan mereka masih boleh membawa masuk jurulatih import dan membuka pula pemilihan bagi mencari pemain import baru, dan dikhabarkan sedang cuba memancing antara pemain muda terbaik Asia, Omar Kharbin.

Jadi apakah logik yang difikirkan oleh puan presiden terhadap situasi ini. Diharap Malaysia Football League akan memantau sikap kurang profesional KAFA di dalam menangani kemelut kewangan dan kontrak pemain dan tidak berlembut, tidak sewenang-wenangnya menarik balik sekatan perpindahan yang telah dikenakan sebelum ini kepada pasukan itu. – MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -