Segalanya bergantung kepada jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang perlu menang untuk menyuntik semangat pemain pemain negara di saingan Piala Thomas yang akan bermula tidak lama lagi.

Bagi bekas pemain kebangsaan, Rashid Sidek, keputusan yang dilakar Chong Wei menjadi penentu kepada persembahan pemain pemain lain.

“Pada saya, dia (Lee Chong Wei) tidak perlu turun kalau lawan dengan pasukan yang tidak kuat. Dia perlu menang dengan perlawanan yang melibatkan pasukan yang kuat kerana jika kalah akan memberi kesan kepada Malaysia ,”kata Rashid.

Malaysia membariskan Datuk Lee Chong Wei sebagai peneraju pasukan Malaysia di saingan Piala Thomas bersama sama Lee Zii Jia, Iskandar Zulkarnain, Leong Jun Hao, Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi dan Arif Latif.

Selain Chong Wei, Iskandar Zulkarnain, V Shem dan Wee Kiong, rata rata pemain merupakan pemain muda dan jelas sekali memerlukan sokongan dan dorongan daripada pemain pemain senior.

Namun, dari satu aspek, mereka juga perlu bersedia sepenuhnya untuk berdepan cabaran selain mengenepikan status junior ketika beraksi di gelanggang.

Bukan sahaja semangat juang yang tinggi diperlukan, keinginan untuk menang merupakan salah satu aspek yang perlu ada kerana tidak mustahil salah seorang daripada mereka mampu mencipta kejutan.

Hanya pengalaman yang kebijaksanaan memanfaatkan peluang menjadi kayu ukur sekaligus memastikan kemenangan berada di genggaman.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia, Datuk Seri Norza Zakaria mensasarkan separuh akhir kepada skuad Piala Thomas Malaysia bagi tahun ini.

Malaysia diundi dalam kumpulan D bersama sama juara 2016, Denmark, Rusia dan Algeria dimana dua pasukan teratas layak secara automatik ke peringkat suku akhir.

Perlawanan pertama peringkat kumpulan, Malaysia bakal berdepan Denmark dan ia dilihat sebagai kunci penentu kepada pasukan Malaysia samada muncul juara kumpulan atau sebaliknya.

Edisi 2016 di Jiangsu, China, cabaran Malaysia sekadar sehingga suku akhir selepas tewas 2-3 kepada Denmark.

Piala Thomas dijadual bermula dari 21 hingga 27 Mei di IMPACT Arena, Bangkok, Thailand.

- Advertisement -