Skuad badminton wanita Mauritius mendapat tonik tambahan menjelang pusingan akhir Piala Uber 2018 yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand bermula 20 hingga 27 Mei ini.

Ini selepas syarikat peralatan sukan terkemuka, Fleet International Holdings Sdn Bhd tampil sebagai penaja kepada skuad Mauritius dengan nilai tajaan sebanyak RM120,000 dalam bentuk peralatan sukan.

Ketua jurulatih Mauritius, K Yogendran, berkata ini adalah kali pertama pasukannya mendapat penajaan untuk beraksi di pentas antarabangsa dan sudah pasti ia menyuntik semangat kepada barisan pemain untuk memberikan aksi terbaik.

“Sebenarnya, Mauritius tidak pernah ada penaja sebelum ini, jadi ini adalah kali pertama kami mendapat penajaan. Dengan penajaan ini, Fleet memberikan semangat tambahan kepada pemain yang sememangnya sudah bersedia untuk beraksi di Bangkok nanti,” kata Yogendran.

Pada saingan di Bangkok, Mauritius yang layak secara merit ke pusingan akhir Piala Uber selepas muncul juara Kejohanan Badminton Wanita Afrika diundi dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, Denmark dan Russia.

Mengulas mengenai persiapan Mauritius pada bagi menghadapi kempen kali ini, Yogendran, berkata anak buahnya menjalani latihan pusat di Malaysia sejak 10 Mei sebelum berlepas ke Bangkok, Khamis ini.

“Pemain semua sudah bersedia dan saya harap mereka boleh berikan aksi terbaik. Ini adalah kali kedua kami layak ke pusingan akhir Piala Uber selepas muncul juara Kejohanan Badminton Afrika dan ini satu pencapaian membanggakan.

“Kempen kali ini kami menyenaraikan pemain pelapis kerana pemain utama kami terikat dengan komitmen kerja dan masih belajar. Kalau ikutkan undian kali ini, ia memang sukar kerana kami akan bertemu Korea, Denmark dan Russia.

“Namun, saya gembira dapat undian seperti ini kerana ia adalah satu pendedahan yang berguna kepada pemain muda kami di pentas antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Fleet International Holdings Sdn Bhd, Teo Tong Wah, berkata pihaknya cukup berbangga dapat menjalin kerjasama dengan Mauritius yang dua kali muncul juara Afrika.

“Kami cukup berbangga dapat menaja pasukan wanita Mauritius. Jalinan kerjasama ini cukup positif kerana ia dalam masa sama dapat membantu mempromosikan sukan badminton di peringkat global.

“Saya harap pemain Mauritius akan memberikan aksi terbaik mereka sepanjang kejohanan dan menghasilkan keputusan yang baik,” kata Tong Wah.

- Advertisement -