Vathanaka

Pahang menjadi antara pasukan terawal memanfaatkan jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang kembali dibuka pada Isnin apabila mendapatkan khidmat bekas penyerang Kelantan dari Nigeria, Austin Iwuji Amutu (gambar utama) bagi memperkuatkan barisan depan.

Amutu yang mewakili Kelantan pada 2015 dan membantu pasukan itu muncul naib juara Piala FA dibawa masuk menggantikan penyerang dari Liberia, Francis Forkey Doe yang terpaksa digugurkan kerana kecederaan lutut. 

Selain pemain yang baru berusia 25 tahun itu, pasukan tok gajah turut merekrut bekas bintang Terengganu berdarah Kanada – Jepun, Issey Nakajima Farran bagi menggantikan penyerang Kemboja Chan Vathanaka.

Nakajima yang akan berusia 34 tahun minggu depan, mewakili Terengganu selama tiga musim dari 2015-2017 dan merupakan antara tonggak yang membantu sang penyu kembali ke kancah Liga Super musim ini dengan muncul naib juara 100PLUS Liga Premier.

Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh menyifatkan pengalaman kedua-dua pemain itu dalam kancah bolasepak tempatan adalah sebab utama mereka menjadi pilihan dan berharap kehadiran dua pemain itu dapat memperkasa cabaran pasukannya yang ketika ini sudahpun berada di separuh akhir Piala FA dan sedang menghambat kedudukan Johor Darul Takzim di puncak Liga Super.

Pahang ketika ini di tangga ketiga liga dengan 18 mata. Meskipun tanpa sentuhan Forkey Doe yang hanya sempat beraksi lima perlawanan, barisan depan Pahang tetap dilihat cukup mengancam dengan adanya Patrick Cruz dan Mohamadou Sumareh yang telahpun menjaringkan 12 gol sesama mereka setakat ini.

Justeru, dengan menggandingkan tiga penggempur berbisa ini selain adanya Norshahrul Idlan Talaha dan penyerang meningkat naik R.Kogileswaran, Dollah boleh dikatakan sebagai mempunyai rangkaian serangan paling sempurna dan paling dicemburui dalam Liga-M. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -