Skuad Piala Uber Malaysia terus kempunan untuk mencari kemenangan sulung dalam aksi kumpulan D selepas kecundang di tangan China 4-1.

Turun memulakan saingan, perseorangan negara Sonia Cheah yang berdepan Chen Yufei dalam misi mencari mata pertama untuk Malaysia.

Namun, impian Sonia untuk menyumbang mata pertama untuk negara tidak kesampaian apabila tumpas dalam pertarungan tiga set 21-18, 20-22, 18-21.

Mata kedua China mudah diperolehi menerusi bergu Chen Qingchen-Jia Yifan yang tidak berdepan cabaran besar untuk menundukkan pasangan muda negara, Goh Yea Ching-Soong Fie Cho.

Chen Qingchen dan Jia Yifan hanya memerlukan 29 minit untuk mengesahkan kemenangan straight set 21-9, 21-8.

Semangat juang pemain negara kembali membara selepas perseorangan kedua, Goh Jin Wei yang melakar kemenangan ke atas He Bingjiao.

Menang 21-9, Jin Wei bagaimanapun dipaksa beraksi ke set penentuan selepas He Bingjiao melakar kemenangan 21-17 di set kedua.

Permainan Jin Wei nyata lebih kemas di set penentuan untuk memastikan kemenangan menjadi miliknya sekaligus memberikan mata pertama untuk Malaysia dengan keputusan 21-13 selepas bertarung selama 51 minit.

Harapan untuk melihat Malaysia menyamakan kedudukan menerusi bergu kedua tidak kesampaian.

Chow Mei Kuan-Vivian Hoo Kah Mun gagal menyaingi kehebatan pasangan Huang Dongping-Yu Zheng apabila tewas straight set 19-21, 15-21 sekaligus meletakkan China mendahului Malaysia 3-1.

Gao Fangjie melengkapkan kemenangan China 4-1 selepas menundukkan Lee Ying Ying 21-16, 21-15.KU MOHD LUFTI 

 

 

- Advertisement -