Perjuangan Malaysia dalam saingan Piala Thomas berakhir sebentar tadi selepas kecundang 1-3 di tangan Indonesia di peringkat suku akhir.

Kekalahan ini sekaligus melabelkan skuad Malaysia gagal mencapai sasaran yang ditetapkan, untuk mara ke separuh akhir.

Mata pertama Malaysia disumbang Datuk Lee Chong Wei yang melakar kemenangan 21-19, 21-16.

Namun kemenangan itu seakan akan tidak memberi suntikan semangat kepada pemain pemain lain apabila tewas kepada lawan masing masing.

Turun selepas itu, gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong berdepan cabaran Marcus Gideon-Kevin Sukamuljo.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio ini gagal untuk meraih mata kedua buat Malaysia apabila tewas 19-21, 22-20, 13-21.

Sandaran diletak kepada pemain muda, Lee Zii Jia yang turun berdepan Jonathan Christie dalam aksi perseorangan kedua.

Lee Zii Jia hanya mampu mempamer kebangkitan di set kedua selepas tewas 15-21 di set pertama.

Kemenangan 21-11 di set kedua mengheret permainan ke set penentuan, namun Lee Zii Jia tampak goyah dan melakukan banyak kesilapan untuk memberikan mata mudah kepada Jonathan untuk menang 21-13, sekaligus meletakkan Indonesia mendahului 2-1.

Tekanan makin memuncak di kem Malaysia dimana bergu kedua, Aaron Chia-Teo Ee Yi perlu menang ke atas pasangan Fajar Alfian-Muhd Rian Ardianto andai mahu menghidupkan peluang ke separuh akhir.

Pengalaman jelas menjadi pemisah diantara kedua dua bergu ini apabila Fajar dan Rian memerlukan 48 minit untuk menang sekaligus mengecewakan Malaysia dengan kemenangan 21-18, 10-21, 21-9. KU MOHD LUFTI 

- Advertisement -