Naib Presiden Kuantan Rangers, YM Tengku Dato’ Indera Aidy Ahmad Shah berpendapat ‘mindset’ dan mentaliti pemain perlu segera diubah jika pasukan itu mahu mengorak langkah lebih jauh ke depan.

Pendapat itu disuarakan susulan kegagalan skuad senior Kuantan Rangers yang dianggap sebagai pilihan utama untuk mengungguli Kejohanan Futsal Jemputan Piala Evarado 2018 yang berakhir pada Ahad lalu. 

Kuantan Rangers berputih mata setelah tewas 3-5 di separuh akhir kepada Petaling Jaya FC dan Tengku Aidy menjelaskan sikap tidak serius serta terlalu yakin adalah antara punca utama kegagalan itu.

“Ini adalah sikap dan atitud yang tidak betul. Jika kita mahu meletakkan diri sebagai pasukan yang hebat dan menetapkan satu tanda aras, sikap sambil lewa perlu dibuang. Mentaliti positif perlu diterap sentiasa mahu jadi yang terbaik sama ada kejohanan itu kecil atau berprofil tinggi. Jangan sesekali anggap kita sudah terlalu bagus dan inilah yang akan terjadi,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap pemain akan menilai semula prestasi sendiri, melihat kelemahan yang perlu ditutup dan membuktikan mereka boleh menjadi lebih baik dari itu di masa akan datang memandangkan saingan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) masih ada 10 perlawanan untuk diharungi.

Tengku Aidy bagaimanapun memberikan kredit kepada skuad Akademi Kuantan Rangers. Walaupun turut kecundang di separuh akhir, beliau berbangga melihat pasukan muda yang diperkuatkan tiga pemain senior menunjukkan satu determinasi dan semangat juang yang tinggi.

Untuk rekod, sebelum berlangsung kejohanan ekspetasi tinggi diletakkan kepada skuad Kuantan Rangers agar boleh membuktikan kualiti mereka dengan muncul juara manakala pasukan Akademi pula disasarkan melangkah ke separuh akhir.

Saingan membabitkan lapan pasukan itu menyaksikan Darul Ridzuan FC iaitu pasukan SUKMA Perak yang diperkuatkan beberapa pemain kebangsaan seperti Farikh Khabibor Rahman dan Awaludin Nawi muncul juara dengan menundukkan Petaling Jaya FC 4-0 dalam aksi final. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -