Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) mendedahkan tiga lagi atlet sukan itu gagal dalam ujian doping.

Menurut pemangku Setiausaha PABM Abu Hanapah Ismail, wakil Persekutuan Angkatberat Antarabangsa (IWF) telah mengadakan ujian ke atas atlet atlet angkat berat negara dan mengesahkan tiga didapati positif menggunakan bahan terlarang.

“Pada 28 Mac lalu, pihak IWF melalui unit doping mereka ada melakukan pemeriksaan mengejut ke atas atlet atlet yang akan mengambil bahagian di Sukan Komanwel.

“Namun, atlet yang terlibat berada di luar negara untuk menjalani latihan, justeru IWF melakukan ujian terhadap atlet atlet yang berada di bawah program lain.

“Pada 11 Mei lalu pihak PABM menerima keputusan daripada unit doping IWF dan mengesahkan tiga atlet kita terlibat kerana menggunakan steroid anabolik jenis stanozolol,”kata Abu Hanapah.

Tambahnya lagi, ketiga tiga atlet yang terlibat telahpun dimaklumkan dan mereka meminta ujian sampel B diadakan.

Ketiga tiga atlet lelaki ini terdiri daripada dua yang berada di bawah program pelapis, berumur diantara 18-21 tahun manakala seorang lagi merupakan atlet senior dan tidak terlibat di sukan Komanwel.

Ujian sampel B perlu diadakan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh surat yang dihantar oleh IWF kepada PABM yang mengesahkan telah menerima surat tersebut semalam.

Jika didapati bersalah, PABM bakal berdepan hukuman digantung daripada menyertai sebarang aktiviti melibatkan sukan angkat berat samada peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Manakala tiga atlet yang masih belum didedahkan berdepan penggantungan maksima empat tahun jika gagal dalam ujian sampel B.

“Sekarang kita perlu tunggu pendengaran kes dimana atlet ini perlu menceritakan perkara yang sebenar,”kata Abu lagi.

Belum mencecah pertengahan 2018, sukan angkat berat dicemari dengan empat insiden melibatkan positif doping.

Antara nama besar dalam sukan angkat berat yang sedang menjalani hukuman penggantungan Hafifi Mansor dan baru baru ini, pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2018, Mohd Fazrul Azie Mohdad turut terlibat dengan penggunaan bahan terlarang.

- Advertisement -