Penolong jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah, mengakui faktor utama membawa kepada kekalahan terbaru pasukan itu di tangan Negeri Sembilan di Seremban pada Sabtu, adalah disebabkan pemain muda yang kurang pengalaman dan ketiadaan pemain import.

Dengan hanya 10 perlawanan berbaki, Yusri menekankan Kelantan perlu segera mendapatkan pemain import untuk menyelamatkan musim mereka atau berdepan kemungkinan akan tersingkir ke saingan Liga Premier.

“Pemain muda menunjukkan satu prestasi yang baik, tetapi usaha untuk menggilap mereka menjadi lebih baik dan meningkatkan kualiti mereka tidak akan berhasil dalam tempoh singkat. Sebab itu kita tetap perlukan pemain import,” kata Yusri.

Kekalahan kelapan musim ini dan yang ketiga berturut-turut itu menyaksikan mereka kekal di tangga kesebelas dan harapan untuk keluar dari zon penyingkiran semakin sukar.

Menentang Negeri Sembilan yang sebelum ini kemarau kemenangan dalam 10 aksi terakhir, Kelantan menurunkan pemain import baru Alaedine Bouslimi sebagai import tunggal selepas Cassio Fransisco tidak menyertai pasukan pada saat akhir.

Mereka sebelum ini sudah menamatkan khidmat Bruno Lopes dan Mohamed Ghaddar kerana kecederaan manakala Do Dong Hyun dan Morgaro Gomis dilaporkan tidak sebulu dengan Fajr dan sedang menikmati kehidupan di Kota Bharu sebaiknya sementara menanti kontrak mereka ditamatkan.

Bagaimanapun, penyokong Kelantan mahu khidmat Dong Hyun dan Gomis dikekalkan dan diturunkan kerana percaya mereka masih boleh menyumbang dan merubah nasib pasukan. MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -