Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia secara percuma apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) memperoleh hak sebagai Penyiar Berlesen (Licensed Broadcaster) Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia FIFA Russia 2018 yang berlangsung di Rusia mulai 14 Jun hingga 15 Julai depan.

Bagi edisi ke-21 ini, RTM memperuntukkan 400 jam siaran bagi menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan menerusi TV1 dan TV2 bagi memenuhi permintaan rakyat yang tidak mampu memiliki siaran televisyen berbayar.

Daripada jumlah itu, sebanyak 28 perlawanan akan disiarkan secara langsung, manakala 13 perlawanan disiarkan secara siaran tertunda.

Siaran akan bermula 14 Jun ini, iaitu perlawanan di antara Rusia dan Arab Saudi. Apa yang menarik, dalam perlawanan yang disiarkan secara langsung ini, RTM menjanjikan untuk menyiarkan hanya pasukan ternama dan hebat sahaja. Siaran melibatkan negara yang diminati rakyat Malaysia antaranya Jerman, Brazil, England, Argentina, Sepanyol, Perancis, Portugal, Itali, Argentina, Korea dan Jepun.

Maxis Berhad merupakan penaja utama iaitu ‘Platinum Sponsor’ sementara AirAsia adalah penaja ‘Gold Sponsor’. Ruj : RTM(BPR)/SM/JLD.1 (107) 2 Kejohanan FIFA World Cup diadakan setiap empat tahun sekali dan merupakan acara bola sepak yang paling berprestij sejak diperkenalkan pada tahun 1974.

Edisi ke-21 ini dihos oleh Rusia dan akan bersiaran daripada 12 lokasi merangkumi 11 bandar utama di Rusia iaitu Moscow, St Petersburg, Kaliningrad, Kazan, Nizhny Novgorod, Roston-on-Don, Samara, Saransk, Sochi, Volgograd dan Ekaterinburg.

32 negara menyertai kejohanan kali ini dalam 8 kumpulan. Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Gobind Singh Deo akan melancarkan siaran kejohonan ini pada satu majlis sesi media di Putrajaya pada 12 Jun 2018.

Dengan mengambil kira nilai perpaduan yang dapat dipupuk melalui siaran kejohanan ini, beliau telah berusaha bersungguh-sungguh untuk merealisasikan impian peminat bola sepak di Malaysia supaya dapat menikmati kejohanan ini secara percuma di rumah.

Sebagai penaja utama ‘Platinum Sponsor’, Robert Nason, Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Berhad “berbangga dapat menyumbang untuk siaran kejohonan ini.

Kerjasama melalui siaran acara kesukanan ini merupakan platform yang sesuai demi menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan status, dan Maxis berkongsi aspirasi negara melalui advokasi perkara-perkara sebegini.

Diharap kerjasama bersama RTM dalam acara sebegini melalui program kesukanan dapat dilaksanakan pada masa hadapan.”

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, “Sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbaik dunia, kami amat berbangga menjadi penaja siaran Piala Dunia di RTM.

“Kami percaya bahawa sukan adalah untuk semua dan sukan juga boleh mengeratkan hubungan sesama kita. Justeru, kami amat teruja untuk membawakan acara sukan bola sepak terbesar dunia kepada berjuta rakyat Malaysia.”

AirAsia, sebagai penaja ‘Gold Sponsor’, menyediakan peluang menarik kepada penonton untuk memenangi 54 tiket penerbangan melalui kuiz yang dianjurkan sepanjang musim kejohanan ini.

- Advertisement -