Selepas melakukan kajian semula terhadap sasaran di temasya dwi tahunan, Sukan Malaysia (SUKMA) 2018, tuan rumah, Perak tampil dengan kunci penunjuk prestasi terbaru.

Jumlah pingat emas yang disasarkan dikurangkan kepada 50 berbanding 70 seperti yang diumumkan pada awalnya.

Exco Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Perak, Howard Lee Chuan How telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan pasukan negeri itu pada 11 dan 12 Jun lalu untuk membincangkan hal hal berkaitan prestasi semasa dan persediaan kontinjen.

Jelas Howard Lee, pengurangan jumlah sasaran tidak bermakna Perak mahu melupakan misi untuk memburu gelaran juara keseluruhan mahupun merendahkan kemampuan kontinjen itu.

Sebaliknya, ia dibuat selepas meneliti pelbagai aspek, namun beliau menegaskan, 50 pingat emas adalah capaian minimum yang perlu diperolehi oleh Perak andai mahu menggapai misi juara keseluruhan.

Howard juga tidak mahu kontinjen lain diketepikan dalam mensasarkan pungutan pingat kerana negeri negeri lain ada kekuatan tersendiri.

SUKMA 2018 dijadual berlangsung pada September melibatkan 29 jenis sukan di 39 venue di 12 daerah di seluruh negeri Perak.

- Advertisement -