Tujuh atlet terjun negara yang terpalit dengan kontroversi gara-gara berkelakuan memalukan dalam keadaan mabuk dalam satu rakaman video yang tersebar sejak beberapa hari lalu, berpotensi dibuang daripada Program Podium sekiranya didapati bersalah.

Pengarah Program Podium, Tim Newenham berkata tindakan ke atas tujuh atlet itu – Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri, Chew Yi Wei serta empat atlet remaja iaitu Jellson Jabilin, Gabriel Gilbert Daim, Kimberly Bong dan Tracy Vivien Thukiet boleh jadi sekadar diberikan amaran dan terlepas daripada sebarang hukuman sehinggalah dibuang daripada program, bergantung kepada keputusan yang dicapai oleh Jawatankuasa Disiplin Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM).

“Ini bukan persoalan mengenai apakah ada cubaan mensabotaj, dari mana video itu datang, atau adakah ia disebarkan secara tidak sengaja, tiada siapa tahu. Tetapi atlet-atlet ini mengakui mereka berada di dalam video itu dan mengakui kesalahan yang dilakukan.

“Cara mereka menangani isu ini dengan tampil berdepan orang ramai dan membuat permohonan maaf menunjukkan mereka belajar dari kesilapan yang telah berlaku.

“Di dalam kontrak atlet memang ada kami nyatakan jangan mengambil alcohol berlebihan, jadi sekarang ianya bergantung kepada ASUM apa bentuk hukuman yang mereka mahu diberikan,” kata Newenham yang ditemui selepas kesemua atlet yang terbabit itu membuat permohonan maaf secara terbuka di atas kekhilafan mereka dalam satu sidang media di Majlis Sukan Negara. 

Buat sementara ini, ASUM sudahpun mengambil tindakan segera dengan memotong elaun atlet yang terbabit manakala penyertaan mereka di Sukan Asia Jakarta Ogos depan pula dalam keadaan samar dan akan diputuskan dalam tempoh terdekat.

Video itu difahamkan dirakam ketika masing-masing sedang meraikan sambutan Tahun Baru Cina ketika kem latihan di China pada bulan Februari lalu.

Ini adalah insiden besar kedua menghimpit skuad terjun negara dalam tempoh kurang setahun setelah bekas penolong jurulatih Huang Quang didakwa atas tuduhan merogol salah seorang atlet terjun, namun kemudiannya dia dibebaskan tanpa dipanggil membela diri pada April lalu. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -