Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan terus mengeruhkan hubungannya dengan penyokong pasukan itu apabila menyatakan kejatuhan bolasepak Kelantan adalah berpunca daripada sikap negatif penyokong.

Meskipun tidak menujukan kenyataan itu kepada semua penyokong, menurutnya segelintir penyokong sengaja ingin melihat pasukan jatuh mungkin kerana tidak berpuas hati kerana beberapa pemain favourite mereka seperti Badhri Radzi serta Khairul Fahmi Che Mat tiada dalam perancangan pasukan.

Umum mengetahui Kelantan ketika ini bergelut untuk kekal dalam Liga Super dan hampir pasti tersingkir ke Liga Premier musim depan disebabkan masalah kewangan kritikal serta kegagalan merancang perjalanan serta halatuju pasukan berdasarkan kekuatan kewangan yang ada.

Hampir 40 pemain direkrut dan belumpun tiga bulan lebih sedozen sudah digugurkan. Ia kemudian diburukkan dengan datangnya Fajr Ibrahim yang ‘mencaca-marbakan’ pasukan dan berlari pulang ke Syria selepas meletakkan Kelantan di tangga tercorot dengan meninggalkan surat cinta 30 patah perkataan.

Bibi juga sering mencanangkan dia bekerja seorang diri yang memperlihatkan bahawa dia gagal untuk membentuk satu team pengurusan yang mantap untuk membantunya menguruskan The Red Warriors.

Laporan media pada 15 September 2017 pula melaporkan bahawa Bibi ada menyatakan dia telah mendapat lampu hijau daripada tiga buah syarikat multinasional yang berpengalaman menaja kelab eropah yang ingin mengembangkan tajaan bola sepak kepada pasukan TRW sekali gus memastikan kewangan pasukan stabil sepanjang musim namun ia juga dilihat sebagai manifesto yang gagal.

Jadi di mana relevannya penyokong yang tidak berpuas hati dengan pengguguran pemain yang tiada dalam perancangan, dilabel sebagai punca kejatuhan bolasepak Kelantan? Wajarkah penyokong disalahkan.

Bukankah ianya satu daripada tanggungjawab presiden untuk menjaga keharmonian di kalangan penyokong dan memastikan penyokong sentiasa bersatu. Atitud dan sikap sebegini sekadar merosakkan lagi reputasi Bibi di mata penyokong.

“Fans Engagement’ Bibi diketahui tidak begitu bagus, dan dengan tindakan seperti ini, ia tidak akan membantu untuk mendapatkan semula sokongan yang hilang mahupun menarik semula penyokong yang menjauh dari stadium. Bolasepak Kelantan masih memerlukan Bibi Ramjani, namun dia perlu lebih matang dan lebih bijak bermain dengan emosi dan sentimen penyokong. – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -