Johor Darul Takzim semakin menghampiri gelaran juara Liga Super kelima berturut-turut apabila menewaskan Terengganu FC 2-0 di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus, Larkin pada Rabu.

Kemenangan menyaksikan skuad Raul Longhi melebarkan kelebihan di tangga teratas kepada 13 mata dengan hanya enam perlawanan sahaja lagi untuk diharungi. Ini bermakna mereka hanya memerlukan dua kemenangan sahaja lagi untuk mengesahkan kejuaraan.

Harimau Selatan membuka jaringan menerusi Marcos Antonio pada minit ketujuh sebelum Gonzalo Cabrera mengesahkan kemenangan ke-12 pasukan itu pada minit ke-34.

Kekalahan buat skuad Irfan Bakti menyaksikan mereka menghuni tangga kelima dengan 24 mata, dipintas Kedah yang melakar kemenangan 3-2 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Darul Aman.

Kedah pada satu ketika mendahului selesa 3-0 menerusi jaringan Andik Vermansyah pada minit ke-13, Akhyar Rashid pada minit ke- 25 dan Paolo Rangel pada minit ke-33 dan dilihat menuju kemenangan mudah.

Namun skuad warga kota menghadiahkan detik cemas buat Lang Merah apabila Guilherme De Paula merapatkan jurang pada minit akhir separuh masa pertama menerusi percubaan yang gagal diselamatkan Ramadhan Hamid manakala gol kedua jaringan Safuan Sahlan pada minit ke-88 pula sudah terlalu lewat buat mereka menjelmakan kebangkitan sensasi.

Kekalahan buat KL menyaksikan mereka berada di tangga kesembilan dengan 19 mata, tujuh mata di atas zon penyingkiran.

 

- Advertisement -