Kuala Lumpur terlepas peluang terbaik untuk menjarakkan diri dari zon penyingkiran apabila sekadar mampu mencatat keputusan seri 1-1 menentang PKNP FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Rabu.

Kedua-dua pasukan sebenarnya memerlukan kemenangan untuk kekal di zon selamat tatkala saingan liga semakin menghampiri penghujungnya. Skuad warga kota berada di depan pada minit ke-23 menerusi jaringan kapten pasukan Indra Putra Mahyuddin.

PKNP FC yang bermain tanpa kelibat kapten mereka, Shahrel Fikri Mohd Fauzi yang menyertai Nakhon Ratchasima, berjaya menyelamatkan satu mata menerusi jaringan sendiri Saifulnizam Miswan sepuluh minit sebelum perlawanan berakhir.

Satu mata yang diraih menyaksikan Kuala Lumpur berada di tangga kelapan dengan 20 mata, manakala PKNP di tangga kesepuluh dengan 18 mata – enam mata di atas Negeri Sembilan.

Sementara itu,hasrat Negeri Sembilan untuk menyalakan peluang terus kekal dalam Liga Super dinafikan Terengganu yang bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan 3-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Tchetche Kipre membuka tirai jaringan pada minit ke-31 namun skuad Mario Lemar bangkit untuk mendahului 2-1 menerusi dua jaringan pantas Nicolas Velez pada minit ke-44 dan 45.

Kipre bagaimanapun kembali mengikat kedudukan 2-2 menerusi sepakan penalti pada minit ke-57 sebelum memastikan kemenangan buat TFC dengan melengkapkan hatriknya 10 minit kemudian.

Tiga mata yang diraih membolehkan skuad Irfan Bakti Abu Salim mengukuhkan cengkaman di tangga kelima dengan 27 mata dan masih berpeluang untuk mengintai kedudukan tiga teratas manakala kekalahan kesebelas dialami skuad hoben menyaksikan mereka kekal dengan 12 mata dan semakin sukar untuk mengelak daripada tersingkir ke Liga Premier. – MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -