Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa pada Khamis mengumumkan telah membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertanding merebut jawatan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kongres Tahunan badan induk itu bulan depan.

Menurut Annuar yang pernah memegang jawatan Timbalan Presiden FAM pada 2011, keputusan itu dibuat setelah membuat tinjauan dan berbincang dengan pemimpin-pemimpin persatuan bolasepak negeri dan kebangsaan, serta mengambil kira nasihat dan pandangan daripada bekas presiden FAM sendiri, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Malah, Annuar juga memberitahu keputusan mengundur diri itu dibuat bagi memberi sepenuh tumpuan terhadap tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat dan menjadi jurubicara rakyat yang berkesan lagi berintegriti.
Ironinya ini adalah kali kedua berturut-turut Annuar yang dicalonkan namanya oleh Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) membuat keputusan untuk menarik diri dari bertanding jawatan presiden FAM.

Tahun lalu beliau turut membuat perkara sama dengan menarik diri hanya beberapa hari sebelum berlangsungnya pemilihan yang sekaligus memberi ruang kepada Tunku Ismail untuk menduduki kerusi no.1 FAM itu tanpa dicabar.

Untuk rekod, Annuar adalah calon kedua untuk membuat keputusan menarik diri dari pemilihan kali ini setelah Datuk Seri Azim Mohd Zabidi yang dicalonkan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur turut berbuat demikian sebelum ini kerana komitmen tugas.

Apa sekalipun, tindakan Annuar ini boleh dianggap sebagai tepat kerana sememangnya bolasepak bukan pentas buat wakil rakyat dan perlu dijauhkan daripada ahli politik. Kalaupun bertanding peluang untuknya menang menentang calon pilihan iaitu Dato’ Hamidin Amin adalah sangat tipis memandangkan Hamidin adalan calon yang dipilih sendiri oleh Tunku Ismail sejurus baginda melepaskan jawatan pada Mac lalu.

Dalam masa sama, kredibiliti Annuar juga tidaklah begitu gah, walaupun dianggap bapa transformasi bolasepak Kelantan namun tindakannya meninggalkan KAFA ketika persatuan itu dihimpit pelbagai masalah terutama membabitkan kewangan yang disebabkan kekhilafan sendiri pada tahun lalu,umpama nakhoda meninggalkan kapal yang sedang karam dan membawa kepada kritikan hebat daripada penyokong.

Dengan pengunduran Annuar, Hamidin kini memenangi kerusi Presiden FAM itu tanpa bertanding namun hanya akan diumumkan sebagai Presiden baru FAM pada kongres yang akan berlangsung pada 14 Julai nanti.

Mungkin Hamidin sendiri bukanlah calon yang paling layak untuk jawatan itu, namun untuk mencabarnya kita memerlukan seseorang yang jauh lebih baik dari Annuar, Azim, Khairy Jamaluddin, Tan Sri Tony Fernandes, Tan Sri Vincent Tan mahupun sesiapa sahaja nama yang pernah dikaitkan dengan jawatan itu.

Kerana ia bukan sekadar menukar individu yang memimpin, tetapi ianya mengenai merubah cara bekerja dan memperkasakan sistem bagi memacu dan meletakkan FAM di mata dunia. – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -