Kuala Lumpur dan Melaka sekali lagi menyajikan aksi berbalas jaringan di mana enam gol terhasil dalam perlawanan yang dimenangi skuad warga kota dengan jaringan 4-2.

Perlawanan di Stadium Hang Jebat menyaksikan KL bimbingan Fabio Maciel dua kali bangkit dari ketinggalan untuk membawa pulang tiga mata, walaupun terpaksa bermain dengan 10 pemain pada 20 minit terakhir.

Penyerang baru Melaka, Ifedayo Olusegun Omusuyi terus mempamer sentuhan klinikal apabila menjaringkan gol seawal minit kelima namun disamakan oleh ketua pasukan KL, Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-30.

Ifedayo kembali meletakkan Melaka di depan sebelum tamat separuh masa pertama namun aksi separuh masa kedua menyaksikan KL tampil dengan semangat berbeza dan berjaya menyamakan kedudukan sekali lagi menerusi penyerang kebangsaan Zaquan Adha Abd Radzak pada minit ke 56.

Ia kemudian disusuli jaringan penalti Guilherme De Paula pada minit ke-63. KL bagaimanapun kehilangan seorang pemain apabila Zhafri Yahya dilayangkan kad merah pada minit ke-70 namun kelebihan itu gagal dimanfaatkan Melaka sebaliknya gawang kawalan Zamir Selamat bocor lagi pada minit ke-83 setelah Indra Putra menolak masuk hantaran De Paula.

Kemenangan ini cukup penting buat KL apatah lagi ia membantu mereka keluar dari zon bahaya dengan melonjak ke tangga ketujuh dengan 19 mata – tujuh mata mengatasi Negeri Sembilan yang berada di tangga kesebelas.

Ia juga sekaligus menyaksikan Melaka United yang jatuh ke zon bahaya, apabila menduduki tangga ke-10 dengan 17 mata.

Sementara itu, Perak bimbingan Mehmet Durakovic pula kembali merampas kedudukan kedua setelah membenam cabaran Negeri Sembilan 2-0 di Stadium Ipoh.

Setelah terikat tanpa jaringan di separuh masa pertama, Brendan Gan memecahkan kebuntuan pada minit ke-55 dan Leandro Santos memastikan tiga mata milik sang seladang dengan gol kedua pada minit ke-83.

Perak kini mengumpul 27 mata, lapan mata di belakang Johor Darul Takzim namun sudahpun beraksi lebih satu perlawanan.

Dalam aksi di Kuala Terengganu, tuan rumah Terengganu FC melakar kemenangan 2-1 ke atas PKNP FC menerusi jaringan Tchetche Kipre dan Andrew Lee Tuck.

Gol tunggal buat PKNP dijaringkan Kim Sang Woo. Terengganu kekal di tangga kelima dengan 24 mata, PKNP pula tergelincir ke tangga kelapan dengan 17 mata. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -